STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, mengumumkan akan meletakkan jawatan selepas blok pembangkang berhaluan kiri mencatat kemenangan tipis dalam pilihan raya umum negara itu.
Keputusan rasmi yang diumumkan pihak berkuasa pilihan raya pada Khamis menunjukkan empat parti dalam blok kiri memenangi 176 daripada 349 kerusi di Parlimen Sweden (Riksdag), sekali gus memperoleh majoriti mudah dengan kelebihan tiga kerusi.
Sementara itu, empat parti yang membentuk atau menyokong kerajaan konservatif pimpinan Kristersson hanya meraih 173 kerusi.
Perbezaan antara kedua-dua blok juga amat kecil, dengan hanya kira-kira 50,000 undi memisahkan mereka di negara yang mempunyai sekitar 10.6 juta penduduk.
Sejurus keputusan diumumkan, Kristersson mengesahkan beliau akan berundur bagi memberi laluan kepada proses pembentukan kerajaan baharu.
“Maka kini tugas seterusnya terletak di bawah Speaker Parlimen untuk memimpin proses ke arah pembentukan kerajaan baharu. Saya memohon untuk dilepaskan daripada jawatan perdana menteri supaya proses itu dapat dimulakan segera,” katanya menerusi sepucuk surat yang dimuat naik di platform X.
Kemenangan itu membuka peluang kepada bekas Perdana Menteri, Magdalena Andersson, untuk kembali menerajui kerajaan selepas tewas dalam pilihan raya 2022.
Parti Demokrat Sosial pimpinan Andersson muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya kali ini walaupun mengalami sedikit penyusutan sokongan berbanding sebelum ini.
Bagaimanapun, usaha membentuk kerajaan dijangka tidak mudah memandangkan terdapat perbezaan ideologi antara parti-parti dalam blok kiri yang terdiri daripada Parti Demokrat Sosial, Parti Kiri, Parti Hijau dan Parti Tengah.
Andersson dijangka berdepan cabaran besar untuk menjambatani jurang antara Parti Kiri yang berhaluan sosialis dan Parti Tengah yang lebih liberal.
Parti Tengah sebelum ini menegaskan ia tidak akan menyokong kerajaan yang memberi jawatan kabinet kepada Parti Kiri, sedangkan parti itu berkeras mahu diwakili dalam pentadbiran kerajaan.
Andersson pula menyatakan beliau tidak bercadang memasukkan Parti Kiri ke dalam kabinet, namun masih memerlukan sokongan mereka di parlimen untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan stabil.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan besar bagi politik berhaluan kiri di Eropah.
Menurutnya, rakyat Sweden sekali lagi memilih agenda yang menekankan kebajikan sosial, keadilan sosial dan dasar mesra alam selepas empat tahun di bawah pentadbiran konservatif yang disokong parti kanan.
Parlimen Sweden dijangka boleh mengadakan undian untuk memilih perdana menteri baharu seawal 29 September.
Sementara itu, Parti Demokrat Sweden yang terkenal dengan pendirian anti-imigrasi mencatat kemerosotan sokongan buat kali pertama sejak memasuki parlimen pada 2010.
Parti berkenaan memperoleh 17.5 peratus undi, susut tiga mata peratusan berbanding pilihan raya 2022.
Pada malam pilihan raya, Kristersson berkata beliau akan menghormati usaha Andersson untuk membentuk kerajaan baharu, namun secara sinis mengucapkan “selamat berjaya” sambil merujuk kepada perbezaan ketara dalam kalangan parti-parti yang membentuk blok kiri.