ANKARA: Rentetan ketegangan ketenteraan memuncak di seluruh Asia Barat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menetapkan tarikh akhir awal kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz, diikuti dengan lanjutan tempoh berulang kali dan serangan balas yang menyasarkan infrastruktur utama serta aset ketenteraan, lapor Anadolu Ajansi.
Pada 21 Mac, Trump memberi tempoh 48 jam kepada Iran untuk membuka semula selat berkenaan, dengan amaran bahawa tentera AS akan menyerang kemudahan tenaga negara itu jika ia gagal mematuhi arahan diberikan.
Advertisement
Dua hari kemudian, pada 23 Mac, Trump berkata "rundingan yang sangat baik dan produktif" telah berlangsung dan menangguhkan serangan yang dirancang selama lima hari. Pada 27 Mac, beliau melanjutkan lagi tarikh akhir itu sehingga 6 April.
Permusuhan semakin memuncak pada 29 Mac, apabila sebuah pesawat amaran awal E-3 Sentry milik AS mengalami kerosakan di darat semasa serangan udara di Pangkalan Udara Prince Sultan di Arab Saudi.
Pada 2 April, tentera AS dan Israel menyasarkan Jambatan B1 yang menghubungkan Tehran dan Karaj.
Antara 3 dan 4 April, pesawat F-15E dan A-10 Warthog milik AS telah ditembak jatuh, manakala dua pesawat C-130 musnah semasa operasi menyelamat seorang juruterbang.
Serangan ke atas infrastruktur tenaga berterusan pada 5 April.
Serangan ke atas kemudahan petrokimia Borouge di Abu Dhabi menyebabkan kebakaran, manakala serangan pesawat tanpa pemandu (UAV) ke atas kemudahan minyak di Shuwaikh, Kuwait, turut mencetuskan kebakaran.
Pada hari yang sama, Trump melanjutkan tarikh akhir untuk perjanjian dengan Iran sehingga Selasa, pukul 8 malam EDT (0000 GMT Rabu).
Pada 6 April, kemudahan petrokimia Iran di Asaluyeh dan Kompleks Petrokimia Shiraz menjadi sasaran. Satu serangan UAV di Pangkalan Udara Ali Al-Salim telah mencederakan 15 tentera AS.
Keesokan harinya, 7 April, sebuah jambatan kereta api di Isfahan telah diserang, manakala Pulau Kharg di Teluk Parsi turut menjadi sasaran serangan.
Perkembangan ini menunjukkan peningkatan ketegangan yang mendadak di rantau itu, dengan serangan yang menjejaskan Iran, Israel, Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
-- BERNAMA-ANADOLU