BANGKOK: Selepas lebih 200 hari berada di laut dan susulan laporan mengenai masalah serius di atas kapal, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) Abraham Lincoln tiba di Thailand pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kira-kira 5,000 kru kapal itu menjalani penugasan tempur yang panjang dan mendapat perhatian susulan dakwaan kekurangan bekalan serta aduan daripada kelasi, anggota Marin dan keluarga mereka.
Kapal itu berlabuh di Pelabuhan Laem Chabang, kira-kira 20 kilometer dari destinasi pelancongan popular Pattaya.
Kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear itu berlepas dari San Diego pada November 2025, pada mulanya untuk penugasan di Pasifik. Ia kemudian dikerahkan semula ke Asia Barat susulan tercetusnya konflik dengan Iran.
Walaupun pelayaran selama beberapa bulan adalah perkara biasa bagi kapal pengangkut pesawat AS, tempoh yang begitu panjang tanpa persinggahan rutin di pelabuhan adalah sesuatu yang luar biasa.
Laporan mengenai masalah bekalan air, tandas tersumbat dan tekanan psikologi dalam kalangan kru akibat pelbagai rungutan mendapat perhatian media.
Dalam beberapa kes, anggota kru yang mengalami tekanan dilaporkan cuba terjun dari kapal, menurut anggota keluarga mereka. Tentera AS menafikan dakwaan paling serius berhubung perkara itu.
Laksamana Muda Robert E Loughran, Komander Kumpulan Tempur Kapal Pengangkut Pesawat 3, berkata persinggahan itu memberi kru "peluang yang sewajarnya untuk berehat dan memulihkan tenaga".
"Saya amat berbangga dengan tahap profesionalisme dan kepakaran luar biasa yang ditunjukkan setiap anggota pasukan ini sepanjang operasi kami," katanya.
Kru dilarang melakukan aktiviti tertentu termasuk sukan air seperti jet ski dan parasailing, serta mengambil kanabis.
Walaupun mereka dibenarkan mengunjungi Walking Street di Pattaya, mereka perlu meninggalkan kawasan hiburan itu sebelum 2 pagi, menurut Bangkok Post.
Walking Street ialah kawasan hiburan malam paling terkenal di bandar peranginan itu yang dipenuhi bar dan kelab malam dengan cahaya terang.
-- BERNAMA-dpa