DUNIA
Kumpulan Arab di PBB tolak mekanisme bantuan Gaza tajaan Israel

Israel dikritik kerana memperalatkan bantuan kemanusiaan untuk memaksa perpindahan rakyat Palestin dan meluluskan penempatan haram baharu di Tebing Barat. - Gambar/ Reuters
HAMILTON (Kanada): Kumpulan Arab di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menolak mekanisme agihan bantuan kemanusiaan di Gaza yang diketuai Israel dengan sokongan Amerika Syarikat, sambil menyifatkannya sebagai satu pelanggaran undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Kumpulan Arab di PBB menolak mekanisme agihan bantuan kemanusiaan di Gaza yang diketuai Israel dengan sokongan AS, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menyeru gencatan senjata serta-merta serta pembebasan semua tahanan.
- Wakil UAE dan Palestin menegaskan bahawa Majlis Keselamatan PBB tidak boleh berdiam diri terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, dan menggesa pengiktirafan Negara Palestin sebagai langkah konkrit ke arah keamanan berkekalan.
- Israel dikritik kerana memperalatkan bantuan kemanusiaan untuk memaksa perpindahan rakyat Palestin dan meluluskan penempatan haram baharu di Tebing Barat, yang menggugat penyelesaian dua negara dan mencetuskan kecaman antarabangsa.
Abushahab, yang mengetuai Kumpulan Arab di PBB menegaskan bahawa Majlis Keselamatan tidak boleh terus berdiam diri sementara kebuluran digunakan sebagai senjata perang.
Beliau turut menggesa gencatan senjata serta-merta, tanpa syarat dan berkekalan, serta pembebasan semua tawanan dan tahanan.
"Kami menyanjung tinggi negara-negara yang telah mengiktiraf Negara Palestin dan menggesa negara lain agar mengikuti jejak mereka.
"Pengiktirafan bukan sekadar simbolik, ia adalah langkah konkrit ke arah keamanan yang adil dan berkekalan," kata Abushahab sambil menekankan kepentingan pengiktirafan negara itu.
Beliau turut menegaskan bahawa Majlis Keselamatan perlu melaksanakan tanggungjawabnya dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta melindungi orang awam.
Timbalan utusan Palestin ke PBB, Majed Bamya turut menyuarakan sokongan terhadap gesaan itu sambil memberi amaran tentang bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza.
Merujuk kepada pengeboman berterusan, pemindahan paksa dan kebuluran, Bamya berkata: "Cukup sekadar menyebut 'Gaza' untuk semua orang memahami tragedi kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata."
"Terdapat kemarahan di peringkat antarabangsa, tetapi kemarahan semata-mata tidak memadai.
"Ia tidak cukup untuk rakyat Gaza hanya mengetahui bahawa dunia mengecam tindakan Israel. Kita perlukan tindakan," katanya sambil menekankan tanggungjawab Majlis Keselamatan.
Bamya mengecam apa yang disifatkannya sebagai kempen untuk "melupuskan isu Palestin dengan kekerasan", serta memberi amaran bahawa Israel menggunakan bantuan sebagai alat untuk memaksa perpindahan.
"Setelah menggunakan semua senjata perang, Israel kini memperalatkan agihan bantuan bagi mencapai matlamat merampas tanah Palestin," katanya.
Ketika ditanya mengenai kelulusan 22 penempatan baharu oleh Israel di Tebing Barat baru-baru ini, Bamya berkata ia menunjukkan "jurang besar antara kerajaan Israel dan seluruh dunia," serta menyifatkannya sebagai sebahagian daripada serangan berterusan terhadap kewujudan rakyat Palestin.
"Seluruh dunia telah mencapai konsensus antarabangsa berkenaan penyelesaian dua negara.
"Namun Israel enggan menerima atau mendekati prinsip-prinsip asas perdamaian. Ini tidak bermakna dunia perlu tunduk kepada jenayah Israel," katanya.
Kementerian Pertahanan Israel sebelum ini mengesahkan bahawa kerajaan meluluskan pembinaan 22 penempatan baharu di Tebing Barat, wilayah yang didudukinya sejak 1967.
Masyarakat antarabangsa, termasuk PBB, menganggap penempatan Israel sebagai haram menurut undang-undang antarabangsa.
PBB telah berulang kali memberi amaran bahawa peluasan penempatan yang berterusan menggugat kemungkinan penyelesaian dua negara -- satu kerangka yang dianggap penting bagi mengakhiri konflik Palestin-Israel yang berlarutan selama beberapa dekad.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami