DUNIA

Kumpulan The Hague adakan mesyuarat tergempar mengenai kekejaman Israel

Bernama 12/06/2025 | 11:20 MYT
Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Colombia dan Afrika Selatan di Kementerian Luar Colombia pada 15 dan 16 Julai. - Gambar fail/ Reuters
KUALA LUMPUR: Kumpulan The Hague, sebuah gabungan sembilan negara akan mengadakan mesyuarat tergempar peringkat menteri bagi membincangkan peningkatan keganasan yang berterusan oleh Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki di Bogota, Colombia bulan depan.


Ringkasan AI
  • Kumpulan The Hague, gabungan sembilan negara termasuk Malaysia, akan mengadakan mesyuarat tergempar peringkat menteri di Bogota, Colombia pada 15 dan 16 Julai 2025 bagi membincangkan peningkatan keganasan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki.
  • Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Colombia dan Afrika Selatan itu akan menumpukan kepada pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, termasuk jenayah genosid, serta langkah perundangan dan diplomatik untuk menamatkannya.
  • Negara anggota dijangka mengumumkan tindakan konkrit yang diselaraskan bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa, memastikan keadilan dan akauntabiliti terhadap kekejaman yang berlaku.


Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Colombia dan Afrika Selatan di Kementerian Luar Colombia pada 15 dan 16 Julai, menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan.

"Mesyuarat ini akan membincangkan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan dan semakin meningkat oleh Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk jenayah genosid.

"Fokus utama adalah kepada langkah perundangan dan diplomatik yang diselaraskan untuk menamatkannya," menurut kenyataan itu.

Negara-negara anggota turut dijangka mengumumkan tindakan konkrit bagi menguatkuasakan undang-undang antarabangsa melalui tindakan negara yang diselaraskan - bagi menamatkan genosid serta memastikan keadilan dan akauntabiliti.

Gabungan sembilan negara itu ditubuhkan pada 31 Jan 2025 sebagai respons terhadap kekejaman berterusan Israel dan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Ia dianggotai oleh Belize, Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.

-- BERNAMA




#The Hague #Palestin #Gaza #kekejaman israel