SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan peluru berpandu ke atas kapal kontena di Laut Merah dan atas percubaan untuk menyerang Israel dengan dron pada Selasa.

Syarikat kapal berkenaan, MSC Mediterranean Shipping bagaimanapun melaporkan tiada sebarang kecederaan berlaku kepada anak kapalnya akibat serangan tersebut.

Difahamkan, kapal tersebut dalam perjalanan dari Arab Saudi ke Pakistan dan telah memaklumkan kapal perang tentera laut berhampiran bahawa ia telah diserang.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea dalam ucapan di televisyen memberitahu, kumpulan itu telah menyasarkan kapal itu, yang dikenal pasti sebagai MSC United, selepas anak kapal gagal menjawab amaran.

Pihak berkuasa Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom sebelum ini melaporkan dua insiden letupan di Laut Merah di luar pantai Yaman melibatkan peluru berpandu dan dron berhampiran sebuah kapal.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku seminggu selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan inisiatif keselamatan maritim multinasional di Laut Merah sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal oleh Houthi Yaman.

Houthi juga telah berikrar untuk meneruskan serangan mereka sehingga Israel menghentikan pertempuran di Gaza dan memberi amaran bahawa ia akan menyerang kapal perang AS jika mereka sendiri menjadi sasaran.

Selain itu, beliau juga berkata Houthi telah menjalankan operasi ketenteraan yang menyasarkan sebuah kawasan di Israel iaitu Eilat dan beberapa kawasan lain di negara haram itu.