[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Kyiv digegarkan serangan dron dan peluru berpandu Rusia, puluhan cedera

Astro Awani 17/06/2025 | 03:15 MYT
Asap dan api menjulang ketika serangan Rusia dilancarkan ke atas Kyiv, Ukraine, dalam gelombang serangan terbaharu terhadap negara itu. - Foto REUTERS
KYIV: Ibu negara Ukraine, Kyiv, digegarkan oleh gelombang serangan dron dan peluru berpandu Rusia awal pagi Selasa, dalam salah satu serangan paling sengit sejak perang bermula lebih tiga tahun lalu.
Serangan itu menyebabkan kebakaran, kerosakan bangunan kediaman, dan sekurang-kurangnya 16 orang cedera.
Menurut Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, kebanyakan mangsa cedera berada di daerah Solomianskyi, berhampiran pusat bandar, di mana sebuah dron merosakkan tingkat atas sebuah bangunan apartmen.
Serangan turut menyasarkan kawasan bukan kediaman dan sebuah tadika di pinggir timur bandar.
Ketua pentadbiran tentera Kyiv, Tymur Tkachenko, melaporkan sebanyak 12 serangan berlaku di lima daerah berbeza.
“Ibu kota sedang diserang secara gabungan. Rusia menggunakan peluru berpandu dan dron serang,” katanya.
Beberapa kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, menyifatkan serangan itu sebagai “perang terhadap orang awam” dan menyeru tindakan konkrit daripada komuniti antarabangsa.
Beliau mendedahkan bahawa lebih 315 dron Shahed dan tujuh peluru berpandu telah dilancarkan dalam tempoh semalaman.
Sementara itu, di Moscow, pihak berkuasa melaporkan bahawa dua dron Ukraine telah dipintas oleh sistem pertahanan udara Rusia, menyebabkan lapangan terbang ditutup sementara waktu.
Serangan ini berlaku ketika rundingan damai antara kedua-dua negara masih buntu, dengan hanya sedikit kemajuan dicapai setakat ini.
Keadaan di Kyiv kekal tegang, dengan penduduk berlindung di stesen metro dan pasukan kecemasan bertungkus-lumus memadam kebakaran serta menyelamatkan mangsa.
#Rusia #serangan #Ukraine #cedera