JAKARTA: Satu lagi gempa bumi berukuran 5.2 magnitud melanda luar pesisir Pulau Flores, Indonesia pada Rabu, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT).
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 10.13 pagi waktu tempatan pada kedalaman 10 kilometer, dengan pusat gempa terletak di Laut Flores, kira-kira 54 kilometer di barat laut Ende.
Menurut data di laman sesawang BMKG, gegaran dirasai di Ende dan daerah berdekatan Nagekeo.
BMKG memaklumkan kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami, namun menasihatkan penduduk supaya berwaspada terhadap kemungkinan gempa susulan.
Flores terus mengalami aktiviti seismik selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda pada Sabtu lalu, menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan meluas di Nusa Tenggara Timur.
Setakat 5 pagi Selasa, BMKG merekodkan 2,119 gempa susulan dengan magnitud antara 1.3 hingga 6.2, termasuk 24 gegaran melebihi magnitud 5.0.
Angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 itu meningkat kepada 70 orang setakat Selasa, manakala 11,925 rumah dilaporkan rosak.
-- BERNAMA