Skip to main content

Dunia

Lagi gempa di Granada, Sepanyol aktifkan pelan kecemasan

Earthquake  5 km ENE at Escúzar, Spain - https://earthquake.usgs.gov/
Gegaran terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas kawasan metropolitan Granada dilanda gempa bumi bermagnitud 5.0 yang berpusat di Alhendín pada Sabtu lalu. -Foto USGS
Advertisement

GRANADA: Siri gempa bumi yang diklasifikasikan sebagai fenomena "kawanan seismik" kembali menggegarkan wilayah Granada di selatan Sepanyol, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk serta pelancong.

Gegaran terbaharu itu berlaku beberapa hari selepas kawasan metropolitan Granada dilanda gempa bumi bermagnitud 5.0 yang berpusat di Alhendín pada Sabtu lalu.

Menurut data awal yang dikeluarkan Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol (IGN), dua gempa bumi dengan magnitud sehingga 4.6 direkodkan di kawasan berkenaan pada Selasa.

Kejadian itu kemudian disusuli satu lagi gempa susulan bermagnitud 4.0 pada jam 10.53 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa dikenal pasti berhampiran Churriana de la Vega.

Gegaran turut dirasai di beberapa wilayah berhampiran termasuk Almería dan Jaén, selain kawasan pesisir Málaga seperti Rincón de la Victoria, Torre del Mar, Torrox dan Nerja.

Susulan perkembangan itu, kerajaan wilayah Andalucía mengaktifkan Fasa 1 Pelan Kecemasan Seismik bagi memantau risiko serta menangani kesan yang mungkin timbul akibat aktiviti gempa bumi berterusan.

Menteri Wilayah bagi Pengurusan Kecemasan, Antonio Sanz, turut mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Seismik dan menggesa orang ramai supaya mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Pakar seismologi menjelaskan siri gegaran tersebut merupakan sebahagian daripada fenomena kawanan seismik yang lazim berlaku di sepanjang sistem Banjaran Baetic, kawasan yang aktif dari segi pergerakan tektonik di selatan Sepanyol.

Must Watch Video

Advertisement