DUNIA

Lagi insiden pendaki terjatuh di Gunung Rinjani

Sinar Harian 17/07/2025 | 09:40 MYT
Seorang pendaki warga Switzerland mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di kawasan cerun curam Gunung Rinjani, Indonesia.
LOMBOK TIMUR: Seorang pendaki warga Switzerland mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di kawasan cerun curam Gunung Rinjani, Indonesia.


Ringkasan AI
  • Seorang pendaki warga Switzerland, Benedikt Emmenegger, mengalami kecederaan parah selepas terjatuh sejauh 375 meter di cerun curam Gunung Rinjani ketika menuruni laluan ekstrem dari Pelawangan Sembalun ke Danau Segara Anak.
  • Mangsa diselamatkan dalam keadaan sedar oleh pasukan SAR Mataram dan dipercayai mengalami kecederaan serius pada kaki, sementara insiden ini merupakan kejadian ketiga melibatkan pendaki asing dalam tempoh kurang sebulan.
  • Susulan kejadian berulang, pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa menilai semula keselamatan laluan pendakian di Gunung Rinjani yang terkenal dengan laluan mencabar, dan orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mendaki.


Mangsa, dikenali sebagai Benedikt Emmenegger, dilaporkan tergelincir ketika menuruni laluan ekstrem dari Pelawangan Sembalun menuju ke Danau Segara Anak, sekitar jam 12.20 tengah hari, Rabu lalu 16 Julai 2025.

Menurut Pejabat Cari dan Penyelamat (SAR) Mataram, mangsa memulakan pendakian dari Sembalun pada Selasa (15 Julai) dan dipercayai hilang keseimbangan semasa menuruni lereng yang licin dan berbatu.

“Ketika kejadian, dia berada pada ketinggian 2,693 meter dari aras laut, dan jatuh ke paras 2,318 meter,” kata Ketua Seksyen Operasi SAR Mataram, Saidar Rahman.

Pasukan penyelamat terdiri daripada lima anggota segera digerakkan sebaik menerima maklumat daripada penunjuk arah yang menemani mangsa. Mereka tiba di lokasi sekitar jam 3.35 petang dan berjaya menyelamatkan Benedikt dalam keadaan sedar.

“Beliau mengalami kecederaan parah pada kaki, dipercayai patah, dan kini sedang menerima rawatan lanjut,” ujar Saidar.

Insiden ini merupakan kejadian ketiga membabitkan pendaki warga asing dalam tempoh kurang sebulan di Gunung Rinjani.

Pada akhir Jun lalu, dua kes berbeza membabitkan pendaki terjatuh di gunung berkenaan direkodkan dengan seorang pendaki wanita dari Brazil maut, manakala pendaki Malaysia cedera.

Berikutan kejadian berulang itu, segelintir pengguna media sosial menyuarakan kebimbangan dan menggesa pihak berkuasa menilai semula keselamatan laluan ke puncak gunung berkenaan.

“Gunung pun macam perlukan cuti,” komen seorang pengguna Instagram, manakala yang lain menulis, “Jangan jadikan pendakian untuk ‘healing’ berakhir dengan tragedi.”

Gunung Rinjani berketinggian 3,726 meter merupakan gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dan destinasi tumpuan pendaki dari seluruh dunia. Bagaimanapun, laluan seperti Pelawangan Sembalun terkenal sebagai antara laluan pendakian paling mencabar dan berisiko tinggi.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk ramalan cuaca, memastikan tahap kecergasan fizikal mencukupi dan menggunakan khidmat penunjuk arah profesional sebelum melakukan pendakian di kawasan gunung berisiko tinggi. - Sinar Harian/ Agensi




#Gunung Rinjani #pendaki cedera #pendaki maut #warga asing