DUNIA

Lakaran kaki Michelangelo dijual RM90 Juta, lebih 10 kali anggaran asal

Astro Awani 05/02/2026 | 23:40 MYT
Lakaran kecil menggunakan kapur merah itu dipercayai dihasilkan sekitar 1511-1512, ketika Michelangelo sedang membuat persiapan bagi bahagian kedua lukisan siling Sistine, termasuk figura Libyan Sibyl. - Foto X/Kelly Crow
LONDON: Lakaran kaki yang baru dikenal pasti sebagai hasil karya Michelangelo telah terjual pada harga AS$23 juta (RM90 juta), iaitu lebih 10 kali ganda daripada anggaran asal, menurut rumah lelong Christie's.

Pakar Christie's berkata lakaran itu dipercayai menggambarkan kaki Libyan Sibyl, figura yang kemudiannya dilukis oleh Michelangelo pada siling Sistine Chapel.

Menurut pihak lelongan, pemilik karya berkenaan pada awalnya hanya menyerahkan sekeping gambar untuk tujuan anggaran harga, sebelum mengetahui nilai sebenar lakaran tersebut.

Andrew Fletcher, ketua global jabatan Old Masters Christie's, menyifatkan penemuan itu sebagai “salah satu detik paling tidak dapat dilupakan” dalam kerjayanya.

Lakaran kecil menggunakan kapur merah itu dipercayai dihasilkan sekitar 1511-1512, ketika Michelangelo sedang membuat persiapan bagi bahagian kedua lukisan siling Sistine, termasuk figura Libyan Sibyl.

Pemilik tanpa nama, yang menetap di Pantai Barat Amerika Syarikat, memberitahu Christie's beliau mewarisi lukisan itu daripada neneknya, dan ia telah diturunkan dalam keluarganya di Eropah sejak akhir 1700-an.

Pakar lukisan Old Master di Christie's, Giada Damen, menggunakan teknik reflektografi inframerah yang mendedahkan lukisan pada bahagian belakang helaian tersebut, yang juga menyerupai gaya Michelangelo.

Damen kemudian membandingkan lakaran kaki itu dengan karya Michelangelo di Metropolitan Museum of Art, sebelum menyimpulkan ia adalah karya asli.

Penjualan karya seni bernilai jutaan dolar bukan sesuatu yang luar biasa.

Pada 2017, sebuah lukisan berusia 500 tahun yang dipercayai karya Leonardo da Vinci terjual di New York pada harga rekod AS$450 juta (RM1.78 bilion).

Pada November 2025, potret Elisabeth Lederer oleh artis Austria Gustav Klimt dijual pada harga AS$236.4 juta (RM933 juta), manakala pada bulan yang sama, sebuah lukisan surealis oleh artis Mexico Frida Kahlo terjual pada AS$54.7 juta (RM216 juta), memecahkan rekod lelongan bagi karya seni oleh wanita.






#Michelangelo #lakaran kaki #Libyan Sibyl #Sistine Chapel