Setelah sekian lama tidak menerima kunjungan daripada manusia, penjaga sebuah akuarium di Jepun mula bimbang jika belut spesies grass eel peliharaan pusat tarikan itu mula lupa atau takut berjumpa dengan orang ramai.

Untuk itu, akuarium Sumida di Tokyo, memohon orang ramai agar berinteraksi dengan belut menerusi panggilan video FaceTime.

Lima buah iPad diletakkan di luar tangki bagi memudahkan orang ramai melihat ke dalam ruang habitat buatan spesies belut berkenaan.

Kebiasaannya, belut-belut kecil itu akan muncul dari permukaan tanah di akuarium itu dan menggoyangkan tubuh badannya ketika diperhatikan manusia.

Belut (garden eel) di Akuarium Sumida, Tokyo

Namun, akibat lama tidak berjumpa dengan manusia, kira-kira 300 ekor belut itu mula menunjukkan perubahan menjadi 'murung'.

Akhirnya selepas berpeluang membuat panggilan FaceTime pada Ahad lalu, kesemua belut mula menampilkan diri secara beransur-ansur dan tidak 'murung' seperti sebelumnya.

Interaksi spontan antara ikan dengan pengunjung pusat berkenaan sudah menjadi kebiasaan selama ini, sama seperti kisah sesetengah haiwan di zoo yang sudah 'terbiasa' berhubung dengan manusia.

Perintah darurat atau sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19 telah membuatkan kebiasaan itu terhenti secara mendadak.

Ada sesetengah haiwan yang lebih 'selesa' dengan ketiadaan manusia, namun bagi haiwan tertentu yang mempunyai naluri mahu berinteraksi, situasi tanpa manusia boleh menyebabkan sebaliknya.

BACA: Zoo Kaherah ditutup, haiwan dan petugas menemani antara satu sama lain