TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baharu ke atas Iran selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan yang lebih tegas, ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak.
Menurut Komando Pusat AS (CENTCOM), operasi ketenteraan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap beberapa insiden yang menyasarkan kapal dagang dan anak kapal awam di Selat Hormuz.
Media tempatan Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di kawasan pesisir selatan negara itu, termasuk di bandar pelabuhan Bandar Abbas, Sirik dan Pulau Qeshm, selain hab minyak utama Pulau Kharg.
Beberapa laporan turut menyebut kemudahan pelabuhan dan bot nelayan terkena kesan serangan, manakala beberapa individu cedera akibat serpihan letupan.
CENTCOM memaklumkan serangan itu menyasarkan sistem pertahanan udara, kemudahan pengawasan pantai, peluru berpandu darat ke udara, peluru berpandu antikapal serta tapak pelancaran dron milik Iran.
At the direction of the Commander in Chief, U.S. Central Command forces have started conducting additional strikes against Iran to further degrade their ability to threaten freedom of navigation in the Strait of Hormuz. The United States is holding Iran accountable for recent…
— U.S. Central Command (@CENTCOM) July 8, 2026
Tentera AS juga menyatakan lebih 60 bot laju Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menjadi sasaran dalam usaha mengurangkan keupayaan Tehran mengancam laluan perkapalan antarabangsa.
Tindakan tersebut menyusuli beberapa insiden melibatkan kapal dagang dan kapal tangki yang diserang ketika melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.
Washington mendakwa serangan terhadap kapal-kapal berkenaan melanggar gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua negara sebelum ini.
Sebelum serangan dilancarkan, Trump memberi amaran bahawa Iran akan berdepan tindakan tegas daripada AS.
Beliau turut menyatakan bahawa persefahaman yang dicapai sebelum ini antara Washington dan Tehran kini “sudah berakhir”.
Sebagai reaksi, Menteri Luar Iran menolak ugutan Trump dan menegaskan negara itu tidak akan tunduk kepada tekanan AS.
“Kami tidak membalas kekasaran dengan kekasaran, sebaliknya dengan tindakan yang berani dan tanpa rasa gentar,” katanya.
Tentera Iran mengecam serangan AS sebagai satu tindakan pencerobohan dan memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas sekiranya Washington meneruskan tindakan ketenteraan terhadap negara itu.
Perkembangan terbaru itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan pelayaran di Selat Hormuz serta risiko konflik yang lebih besar di Asia Barat, ketika kedua-dua pihak terus bertukar ancaman dan tindakan ketenteraan.