Skip to main content

Dunia

Lapan diselamatkan selepas pesawat amfibia lakukan pendaratan keras di Sungai East River

This image taken from video shows a seaplane after it made a rough landing in New York City's East River on Sunday, July 5, 2026, resulting in two minor injuries. (@brianmichaelf/X via AP)
Imej yang diambil daripada rakaman video menunjukkan sebuah pesawat amfibia selepas melakukan pendaratan cemas di Sungai East River, New York City. - Foto AP
Advertisement

NEW YORK: Sekurang-kurangnya lapan individu berjaya diselamatkan selepas sebuah pesawat amfibia melakukan pendaratan keras di Sungai East River berhampiran Manhattan, menurut pihak berkuasa New York.

Jabatan Bomba New York (FDNY) menerima laporan mengenai pesawat yang mengalami masalah kira-kira tengah hari waktu tempatan berhampiran marina di East 23rd Street dan FDR Drive.

Menurut pihak berkuasa, pesawat amfibia jenis Kodiak 100 itu masih berada dalam kedudukan tegak selepas kejadian sebelum ditunda semula ke jeti.

Kesemua lapan individu di dalam pesawat berjaya dibawa keluar oleh anggota penyelamat, manakala dua daripadanya mengalami kecederaan ringan tetapi enggan mendapatkan rawatan perubatan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), yang akan menjalankan siasatan terhadap insiden berkenaan, memaklumkan juruterbang telah melakukan “pendaratan keras”, menyebabkan salah satu penyokong sayap pesawat patah.

Dalam dunia penerbangan, pendaratan keras berlaku apabila pesawat mendarat dengan kelajuan menegak atau hentakan yang melebihi had yang ditetapkan oleh pengeluar pesawat.

FAA turut menjelaskan bahawa menara kawalan trafik udara tidak menyediakan perkhidmatan kawalan kepada pesawat tersebut ketika kejadian berlaku.

Menurut laporan media tempatan, pesawat itu berlepas dari kawasan Hamptons, destinasi percutian popular golongan berada di New York, dan sedang menuju ke pangkalan pesawat amfibia sebelum dipercayai terlanggar ombak ketika proses pendaratan.

Insiden itu menyebabkan pesawat berkenaan hilang keseimbangan dan hampir terbalik di permukaan sungai.

Kejadian tersebut merupakan insiden kedua melibatkan pesawat amfibia di East River dalam tempoh kurang sebulan.

Pada 13 Jun lalu, sebuah pesawat amfibia dua tempat duduk turut mengalami kerosakan selepas dipukul ombak besar ketika cuba berlepas dari sungai berkenaan.

Dalam kejadian itu, seorang juruterbang dan seorang penumpang berjaya diselamatkan selepas pesawat terbabit terhempas berhampiran Queens.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden terbaharu itu.

 

Must Watch Video

Advertisement