DUNIA

Lapan kanak-kanak maut diserang tentera Israel ketika sedang beratur dapatkan rawatan, makanan

Agensi 10/07/2025 | 23:10 MYT
Penduduk Palestin menunaikan solat jenazah ke atas mangsa yang terkorban dalam serangan Israel ketika mereka sedang menunggu untuk menerima bantuan pemakanan di sebuah klinik perubatan di bandar Deir Al Balah, Gaza Tengah, pada Khamis. - Gambar AP
GAZA: Sekurang-kurangnya 15 orang termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan berhampiran sebuah pusat kesihatan di bandar Deir Al Balah, Gaza Tengah, pada Khamis.

Menurut pegawai kesihatan dan petugas perubatan di wilayah itu, serangan tersebut berlaku ketika orang awam sedang beratur untuk mendapatkan rawatan dan bantuan pemakanan.

Hospital Syuhada Al-Aqsa dalam kenyataannya memaklumkan, lapan daripada mangsa yang terkorban merupakan kanak-kanak - yang termuda berusia dua tahun, manakala yang tertua berumur 14 tahun. Turut terkorban, empat lelaki.

Rakaman yang diperoleh CNN memaparkan beberapa kanak-kanak terbaring tidak bergerak, manakala yang lain kelihatan cedera dengan suasana panik dan jeritan kedengaran di lokasi kejadian.

Dalam satu lagi rakaman, beberapa mayat kanak-kanak yang berlumuran darah dilihat dibawa menggunakan troli.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan kepada CNN mendakwa, serangan itu menyasarkan seorang pejuang Hamas yang terlibat dalam serangan 7 Oktober 2023 ke atas Israel.

“IDF menyedari laporan mengenai beberapa individu yang cedera dalam kejadian ini. Insiden sedang disiasat. IDF kesal terhadap sebarang kecederaan ke atas orang awam yang tidak terlibat dan beroperasi untuk meminimumkan kemudaratan sedaya mungkin,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza pula berkata, serangan berkenaan berlaku berdekatan pusat kesihatan yang menyediakan susu formula untuk bayi.

Sementara itu, pertubuhan bantuan kemanusiaan dari Amerika Syarikat, Project HOPE, mengesahkan serangan berlaku “betul-betul di hadapan” salah satu klinik mereka, tempat orang ramai beratur untuk mendapatkan rawatan bagi kekurangan zat makanan, jangkitan penyakit dan masalah kesihatan kronik.

Ketua Pegawai Eksekutif Project HOPE, Rabih Torbay memberitahu CNN, lokasi klinik berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak tentera Israel.

“Ia merupakan kawasan yang telah dinyahkonflik,” katanya.

“Pusat kesihatan Project HOPE merupakan tempat perlindungan bagi masyarakat Gaza – tempat wanita mendapatkan rawatan kehamilan dan selepas bersalin, kanak-kanak menerima bantuan pemakanan, dan ramai lagi mendapatkan rawatan penting,” katanya lagi dalam kenyataan berasingan.

“Namun pagi ini, keluarga-keluarga yang tidak bersalah diserang tanpa belas kasihan ketika mereka sedang menunggu pintu klinik dibuka. Rasa terkejut dan hancur hati tidak mampu menggambarkan kesedihan kami.”

Serangan tersebut berlaku ketika Israel meningkatkan serangan udara dan memperluaskan operasi darat di beberapa kawasan di Gaza, tatkala rundingan sedang berlangsung di Doha untuk membebaskan tebusan, mencapai gencatan senjata sementara, dan membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah yang terjejas teruk itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, hampir 3,000 penduduk Palestin terbunuh sepanjang bulan lalu akibat operasi ketenteraan Israel.

Dalam masa sama, Hamas terus melancarkan serangan gerila terhadap tentera Israel, menyebabkan lebih 20 anggota tentera Israel terbunuh di pelbagai lokasi, termasuk lima orang yang maut minggu ini di bandar Beit Hanoun, utara Gaza.

Sementara itu, seorang lelaki Israel berusia 20 tahun terbunuh dalam satu serangan di persimpangan Gush Etzion, selatan Baitulmaqdis, pada Khamis.

Menurut tentera dan perkhidmatan perubatan Israel, dua warga Palestin yang disifatkan sebagai “pengganas” telah melancarkan serangan gabungan tembakan dan tikaman sebelum ditembak mati oleh tentera.

Gush Etzion merupakan gugusan penempatan di Tebing Barat yang diduduki. - Agensi





#israel serang gaza #kanak-kanak maut #rejim Zionis #serangan udara Israel