ISTANBUL: Lapan negeri di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap OpenAI pada Rabu atas dakwaan bahawa syarikat itu membahayakan kanak-kanak menerusi chatbot ChatGPT serta mengelirukan ibu bapa mengenai aspek keselamatannya, lapor Anadolu Ajansi.
Iowa, Kansas, Nebraska dan West Virginia mengumumkan tindakan undang-undang itu dalam sidang media pada Rabu, manakala Arkansas, Arizona, Idaho dan Montana memfailkan saman berasingan di mahkamah negeri masing-masing.
"OpenAI membahayakan kanak-kanak dan berbohong kepada penduduk Iowa," kata Peguam Negara Iowa Brenna Bird, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.
Beliau mendakwa OpenAI mempromosikan ChatGPT sebagai platform yang selamat, sedangkan chatbot itu didakwa memberikan nasihat perubatan berbahaya, menggalakkan pengguna mencederakan orang lain serta memberikan panduan untuk membunuh diri, selain berpura-pura menjadi rakan kepada pengguna.
Bird berkata saman itu bertujuan melindungi kanak-kanak dan memastikan OpenAI dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang negeri berkenaan.
Sementara itu, Peguam Negara West Virginia JB McCuskey mendakwa syarikat itu membahayakan kanak-kanak, memperdaya ibu bapa dan melanggar undang-undang perlindungan pengguna negeri itu.
"Kita mesti melakukan segala yang termampu untuk melindungi kanak-kanak," katanya sambil mendakwa chatbot berkenaan tidak mempunyai langkah perlindungan yang mencukupi bagi perbualan berkaitan bunuh diri, insiden tembakan di sekolah dan perbuatan mencederakan diri sendiri.
Peguam Negara Nebraska Mike Hilgers pula berkata OpenAI memasarkan ChatGPT sebagai selamat untuk pengguna bawah umur, walaupun menurutnya terdapat kelemahan serius yang telah mengakibatkan kejadian bunuh diri, keganasan dan pelbagai kemudaratan lain.
"Saman ini bertujuan memastikan OpenAI tertakluk kepada piawaian yang sama di bawah undang-undang Nebraska seperti mana-mana syarikat lain," kata beliau menerusi kenyataan di platform media sosial X.
Tindakan undang-undang itu bertujuan memaksa OpenAI mematuhi undang-undang perlindungan pengguna negeri masing-masing serta menghentikan tindakan yang disifatkan oleh peguam negara terbabit sebagai berbahaya dan menyalahi undang-undang.
-- BERNAMA-ANADOLU