NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lapan pekerja maut manakala 13 lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju di negeri Punjab, utara India pada Ahad, menurut polis, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku di Kampung Alisher dalam daerah Sangrur, kira-kira 164 kilometer ke barat daya Chandigarh, ibu negeri Punjab.
"Kami dimaklumkan bahawa kereta itu pada mulanya melanggar sebuah motosikal sebelum mengubah haluan ke arah sekumpulan pekerja, yang sebahagian daripada mereka sedang berehat untuk minum air di tepi jalan," kata seorang pegawai polis.
Menurut polis, kira-kira 25 pekerja, termasuk beberapa wanita, dirempuh kereta berkenaan.
Pekerja yang cedera dibawa ke hospital, dengan beberapa daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, kata pegawai polis itu.
Susulan kemalangan itu, pemandu kereta berkenaan dilaporkan meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri dari tempat kejadian.
-- BERNAMA-XINHUA