Lapan pelajar Malaysia daripada Universiti Yarmouk, Jordan dilaporkan selamat selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Hashemine/Ma'an negara itu semalam (25 Jan).

Dalam insiden kira-kira 10.30 pagi waktu Jordan, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki pelajar terbabit terbabas selepas melanggar pembahagi jalan.

Kementerian Pendidikan Tinggi ketika mengesahkan insiden itu dalam satu kenyataan hari ini berkata empat daripada pelajar berkenaan hanya mengalami cedera ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ma'an manakala empat lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Semua pelajar yang dirawat telah dibenarkan keluar dari hospital berkenaan," katanya.

Kementerian itu berkata pihak Education Malaysia di Jordan dan Kedutaan Besar Malaysia juga telah memberikan bantuan yang bersesuaian kepada semua pelajar berkenaan.

Senarai nama pelajar yang terlibat adalah seperti berikut:

*Muhd Faqrullah Bin Anuar, 20 tahun

*Mohammad Ammar Bin Asri, 21 tahun

*Wan Ahmad Syukri Bin Wan Zaki, 20 tahun

*Muhammad Hafiz Bin Zamzam, 20 tahun

*Umar Faruq Bin Abdul Fatah, 21 tahun

*Nabil Syahmi Bin Nazmi, 20 tahun

*Mohd Zaznizam Izzat Izni Bin Zamani, 20 tahun

*Wan Muhammad Aqif Bin Wan Muzdi, 20 tahun

-- BERNAMA