Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Lapan terbunuh dalam insiden tembakan di luar kelab malam Ecuador

Astro Awani 10/08/2025 | 23:20 MYT
Ecuador kini berdepan krisis yang semakin meruncing, apabila jenayah terancang dan kartel dadah menjadikan seluruh wilayah sebagai zon perang. - Foto X/Mario Nawfal
SANTA LUCIA: Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu insiden tembakan di luar sebuah kelab malam di Santa Lucia, wilayah Guayas, Ecuador, awal pagi Ahad.

Menurut laporan AFP yang memetik kenyataan polis, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang minum di luar premis tersebut sekitar jam 1.15 pagi waktu tempatan.

Polis berkata penyerang tiba dengan dua trak pikap dan melarikan diri selepas serangan.

Di lokasi kejadian, pihak berkuasa menemui lebih 800 kelongsong peluru.

Salah seorang mangsa yang terbunuh ialah pemilik kelab malam berkenaan, Jorge Urquizo, yang juga merupakan abang kepada Datuk Bandar Santa Lucia.

Menurut Kolonel Javier Chango, tujuh mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Seorang lelaki yang memandu trak dan memiliki sepucuk revolver telah ditahan, namun polis belum dapat mengesahkan penglibatannya dalam serangan tersebut.

Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke rumah mayat di bandar berdekatan, Daule.

"Kami bersatu dalam kesedihan dan doa atas serangan ganas yang menimpa komuniti kami," kata Datuk Bandar Santa Lucia, Ubaldo Urquizo dalam satu kenyataan rasmi.

Ecuador, yang dahulunya dianggap sebagai negara aman di antara dua pengeluar kokain terbesar dunia, Colombia dan Peru, kini bergelut dengan peningkatan keganasan akibat perebutan kuasa antara kartel dadah.

Lebih 70 peratus kokain dunia dilaporkan melalui pelabuhan Ecuador.

Wilayah Guayas merupakan salah satu daripada empat kawasan yang kini berada di bawah perintah darurat selama dua bulan yang diumumkan oleh Presiden Daniel Noboa bagi membendung keganasan geng.

Namun, meskipun kehadiran tentera ditingkatkan, kadar jenayah kekal tinggi.

Menurut data rasmi, lebih 4,000 kes pembunuhan direkodkan antara Januari hingga Mei 2025, menjadikan tahun ini sebagai permulaan paling ganas dalam sejarah moden Ecuador.






#insiden tembakan #kelab malam #peningkatan keganasan #kartel dadah