[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Lapangan terbang Berlin terus alami gangguan selepas serangan siber

Bernama 24/09/2025 | 11:00 MYT
Serangan siber melibatkan perisian ransomware telah melumpuhkan sistem teknologi maklumat lapangan terbang Berlin. - Gambar hiasan/ Reuters
BERLIN: Penumpang di lapangan terbang utama Berlin dijangka terus berdepan kelewatan, pembatalan serta menunggu lama pada Rabu dan beberapa hari akan datang berikutan serangan siber terhadap sistem teknologi maklumat lapangan terbang itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Serangan siber melibatkan perisian ransomware telah melumpuhkan sistem teknologi maklumat lapangan terbang Berlin, menyebabkan kelewatan, pembatalan dan gangguan proses daftar masuk serta pengendalian bagasi yang dijangka berlanjutan beberapa hari.
  • Penumpang dinasihatkan menyemak status penerbangan dengan syarikat masing-masing dan menggunakan perkhidmatan daftar masuk dalam talian atau layan diri, sementara kakitangan lapangan terbang berusaha mempercepatkan operasi secara manual.
  • Serangan turut menjejaskan tiga lapangan terbang Eropah lain Brussels, Dublin dan London Heathrow namun lapangan terbang utama lain di Jerman tidak terkesan.


"Syarikat memaklumkan kepada kami ia mungkin mengambil masa beberapa hari lagi untuk menyediakan sistem yang berfungsi sepenuhnya," kata jurucakap lapangan terbang kepada dpa. "Ini amat dikesali dan benar-benar mengejutkan." Garis masa tepat untuk kembali ke operasi normal masih tidak jelas.

Penumpang dinasihatkan supaya menyemak dengan syarikat penerbangan masing-masing mengenai status penerbangan serta menggunakan perkhidmatan daftar masuk dalam talian atau layan diri yang ditawarkan 19 syarikat penerbangan.

Akibat serangan pada Jumaat malam, proses daftar masuk, menaiki pesawat dan pengendalian bagasi beroperasi pada kapasiti terhad atau memerlukan penyelesaian sementara. Syarikat penerbangan terpaksa mendaftar masuk sebahagian penumpang secara manual serta menggunakan teknologi luar

Menurut jurucakap itu, ada penumpang cuba membawa bagasi besar melalui pemeriksaan keselamatan sebagai bagasi tangan. "Itu tidak boleh dilakukan, dan kami menasihatinya dengan tegas agar dielakkan," katanya.

Sejak awal Selasa, kakitangan dapat menetapkan bagasi kepada penerbangan tertentu berbanding hanya syarikat penerbangan, sekali gus mempercepatkan sedikit operasi, namun jumlah bagasi yang besar terus memberi tekanan kepada kakitangan dan ruang.

Menurut Agensi Keselamatan Siber Kesatuan Eropah (ENISA), serangan itu melibatkan perisian "ransomware" yang menyulitkan data serta sistem, selain menuntut bayaran untuk membebaskannya.

Insiden itu turut menjejaskan tiga lapangan terbang Eropah lain dengan gangguan dilaporkan di Brussels, Dublin dan London Heathrow. Lapangan terbang utama lain di Jerman tidak terkesan.

-- BERNAMA


#serangan siber #lapangan terbang #Berlin #eropah