LAPANGAN Terbang Antarabangsa Istanbul disenaraikan sebagai lapangan terbang paling sibuk di Eropah, dengan pengendalian hampir 37 juta penumpang pada tahun lalu.

Meskipun dunia dilanda pandemik, trafik penumpang di lapangan terbang itu terus merekodkan peningkatan sehingga mencapai 36,988,563 pada 2021.

Angka ini bagaimanapun masih rendah berbanding pada 2019, sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.

Pada 2020, ia mengalami penurunan bilangan penumpang sebanyak 59 peratus akibat penularan koronavirus yang menyaksikan sempadan antarabangsa kebanyakan negara ditutup.

Menurut laporan itu lagi, lapangan terbang di Turki dan Rusia merekodkan jumlah penumpang terbesar pada 2021.

Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul menduduki tempat pertama, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo di Moscow (30,943,456 penumpang) dan Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris (26,201,698).

Dapatan ini terkandung dalam laporan tahunan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Eropah dan turut dimaklumkan menerusi Instagram milik stesen penyiaran berita Turki, TRT World.

Baru-baru ini media melaporkan, kemudahan penerbangan tersibuk Eropah itu ditutup berikutan salah satu bumbung terminal kargo runtuh akibat salji tebal, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Susulan itu, penerbangan dari Timur Tengah dan Afrika ke Eropah dan Asia digantung sementara.

Sementara itu, menurut laporan sama, Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol di Belanda merupakan lapangan terbang keempat sibuk di dunia, diikuti Lapangan Terbang Domodedovo Moscow.

Selain Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, dua lagi lapangan terbang di Turki tersenarai sebagai antara yang paling sibuk di Eropah pada 2021, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul dan Lapangan Terbang Antalya.

Sabiha Gokcen menduduki tempat keenam dengan lebih 24 juta penumpang sementara Antalya menduduki tempat kesembilan dengan pengendalian lebih 21 juta penumpang.