INTERNATIONAL
Lapangan Terbang Istanbul pertama di Eropah laksana operasi tiga landasan serentak
Pelaksanaan sistem landasan baharu itu akan mengukuhkan lagi kedudukan lapangan terbang berkenaan sebagai hab utama Eropah. - Foto X/Abdulkadir URALOĞLU
ISTANBUL: ISTANBUL, 18 April (Bernama-Anadolu) - Lapangan Terbang Istanbul kini menjadi yang pertama di Eropah dan kedua di dunia melaksanakan operasi tiga landasan serentak, satu pencapaian yang disifatkan sebagai detik penting dalam sejarah penerbangan global, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sistem baharu yang bermula pada Khamis itu membolehkan tiga pesawat berlepas atau mendarat secara serentak di landasan yang bebas sepenuhnya - sesuatu yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS).
"Ini bukan sahaja pencapaian pertama untuk Turkiye, malah juga bagi penerbangan Eropah, dan merupakan titik perubahan dalam dunia penerbangan.
"Selepas AS, Turkiye menjadi satu-satunya negara yang melaksanakan sistem ini," kata Menteri Pengangkutan Turkiye Abdulkadir Uraloglu pada majlis pelancaran di Lapangan Terbang Istanbul.
Beliau menyifatkan lapangan terbang itu sebagai projek nasional yang berwawasan dan menarik perhatian antarabangsa sejak ia dibuka pada 29 Okt 2018.
"Dengan kapasiti tahunan 90 juta penumpang, Lapangan Terbang Istanbul telah melonjakkan kedudukan Turkiye ke barisan hadapan penerbangan global.
"Struktur moden ini yang menerima jutaan penumpang telah menyerlahkan kekuatan ekonomi dan budaya Turkiye di peringkat dunia serta menjadikannya antara pemain utama dalam sektor penerbangan," katanya.
Pada tahun pertama operasinya, lapangan terbang itu menerima lebih 52 juta penumpang pada 2019 dan jumlah itu meningkat kepada lebih 76 juta pada 2023.
Menurut Uraloglu, dalam kategori Lapangan Terbang Utama - yang merangkumi lapangan terbang dengan lebih 40 juta penumpang setahun - Lapangan Terbang Istanbul mencatat 80.1 juta penumpang, menjadikannya kedua tertinggi di Eropah dan ketujuh di dunia.
Beliau berkata pelaksanaan sistem landasan baharu itu akan mengukuhkan lagi kedudukan lapangan terbang berkenaan sebagai hab utama Eropah serta mengukuhkan lagi kepimpinan global Turkiye dalam sektor penerbangan.
Lapangan Terbang Istanbul menerima kira-kira 80 juta penumpang pada 2024, menjadikannya lapangan terbang terbesar dan kedua tersibuk di Eropah, menurut data Direktorat Awam Lapangan Terbang Negara Turkiye (DHMI).
Ia turut muncul sebagai hab kargo udara tersibuk di benua itu pada tahun lepas, menurut Laporan Trafik Tahunan 2024 Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) Eropah.
- BERNAMA-ANADOLU