ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) pada Isnin melarang firma kecerdasan buatan (AI) China, Hangzhou DeepSeek, daripada digunakan dalam rangkaian agensi awam persekutuan, dengan alasan risiko pengintipan dan keselamatan siber di tengah-tengah persaingan teknologi yang semakin sengit dengan Beijing, lapor Anadolu Ajansi.
"Model DeepSeek mempunyai pelbagai vektor ancaman," kata Penasihat Undang-undang Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri James Percival, dalam arahan berkenaan.
Percival memberi amaran bahawa pelayan syarikat itu beroperasi di China, yang undang-undang domestiknya "memberikan kuasa yang luas kepada fungsi siber dan perisikan kerajaan untuk mengakses infrastruktur syarikat swasta."
Arahan itu turut memberi amaran bahawa struktur interaktif platform berkenaan boleh mendedahkan pertanyaan operasi sensitif kepada pemintasan oleh pihak asing.
Ia juga memberi amaran bahawa pemindahan maklumat ke China "boleh menghasilkan risikan yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap individu di AS dan program kerajaan."
Menurut jabatan itu, penilaian bebas mengenal pasti kelemahan kritikal dalam perisian mudah alih yang dibangunkan oleh syarikat berkenaan, selain risiko penjejakan cap jari digital pengguna.
Arahan itu mewajibkan agensi cawangan eksekutif awam persekutuan segera membuang perisian DeepSeek sedia ada, alat berkaitan serta aplikasi pihak ketiga yang dibangunkan berasaskan rangka kerja syarikat itu.
Pihak berkuasa persekutuan juga mesti menggugurkan syarikat berkenaan daripada senarai produk yang diluluskan.
Agensi boleh mengemukakan permohonan pengecualian secara bertulis dalam tempoh 60 hari melalui Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) bagi fungsi yang kritikal kepada misi mereka.
Sementara proses penghapusan sedang dilaksanakan, agensi diarahkan untuk menguatkuasakan langkah keselamatan siber sementara, termasuk meningkatkan pengelogan aktiviti rangkaian, mengetatkan kawalan terhadap pemindahan data keluar serta menjalankan pemantauan berterusan bagi mengesan trafik rangkaian yang mencurigakan.
Sementara itu, Beijing membantah langkah baharu AS yang menyasarkan syarikat China itu pada Selasa.
"China secara konsisten menentang peluasan konsep keselamatan negara secara berlebihan serta mempolitikkan isu sains, teknologi, ekonomi dan perdagangan," kata Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning, kepada pemberita di Beijing.
"China akan mempertahankan hak dan kepentingan sah syarikat China dengan tegas," kata beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU