DUNIA

Larangan 10 tahun untuk naturalisasi Jerman bagi pemohon beri maklumat palsu

Bernama 04/12/2025 | 09:50 MYT
Larangan itu juga terpakai jika seorang warga asing dengan sengaja memberikan maklumat tidak benar atau tidak lengkap mengenai syarat penting naturalisasi.
BERLIN: Mana-mana individu yang memberikan maklumat palsu atau tidak lengkap dalam proses naturalisasi akan dihalang daripada menjadi warganegara Jerman selama 10 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Perkara itu termaktub dalam pindaan terhadap draf undang-undang mengenai penetapan negara asal selamat melalui dekri, yang diluluskan oleh Jawatankuasa Dalam Negeri Bundestag pada Rabu.

Ahli jawatankuasa daripada kumpulan konservatif, Demokrat Sosial dan parti sayap kanan Alternatif untuk Jerman mengundi menyokong versi pindaan rang undang-undang tersebut.

Parti Hijau dan Kiri pula mengundi menentangnya.

Pindaan itu dibuat susulan siasatan berhubung kegiatan perdagangan sijil bahasa palsu di beberapa negeri di Jerman.

Draf undang-undang yang akan dibincangkan dan diundi pada sesi pleno Jumaat ini menyatakan bahawa larangan itu perlu dikuatkuasakan selama 10 tahun jika naturalisasi telah dibatalkan secara muktamad atau jika pemohon telah "menipu secara fraud, mengugut atau memberi rasuah."

Larangan itu juga terpakai jika seorang warga asing dengan sengaja memberikan maklumat tidak benar atau tidak lengkap mengenai syarat penting naturalisasi.

Draf pindaan itu menyatakan bahawa larangan tersebut "bertujuan untuk menegaskan undang-undang yang terpakai dan mengelakkan galakan kepada pelanggaran undang-undang."

Satu lagi cadangan pindaan ialah penghapusan hak kepada bantuan guaman yang dibiayai kerajaan bagi individu yang ditahan dalam tahanan pemindahan atau tahanan sebelum penghantaran pulang - hak yang hanya diperkenalkan tahun lalu.

-- BERNAMA



#Jerman #naturalisasi #undang-undang baharu #tipu dokumen