ATHENS: Greece dijangka menjadi antara negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang melarang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 15 tahun daripada mengakses media sosial, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Larangan yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan 2027 itu dibentangkan oleh Menteri Negara, Akis Skertsos pada Isnin dalam sidang media bersama beberapa menteri lain di Athens.
Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis sebelum ini mengumumkan menerusi TikTok pada April bahawa larangan sedemikian akan diperkenalkan.
“Sudah tiba masanya untuk kita menangani isu potensi ketagihan digital,” kata Skertsos.
Menteri Kesihatan, Adonis Georgiadis memetik satu tinjauan melibatkan 2,500 pelajar sekolah yang mendapati satu perempat daripada responden mengakui menggunakan media sosial secara berlebihan.
Seorang daripada setiap lima responden pula melaporkan berasa gementar atau tidak yakin serta mengalami masalah tumpuan apabila tidak dapat mengakses telefon bimbit mereka.
Menurut Menteri Digital, Dimitris Papastergiou, mekanisme pemantauan dan pengenaan sekatan di peringkat Eropah akan dilaksanakan sekiranya platform media sosial melanggar peraturan berkenaan.
Di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA), denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan global boleh dikenakan bagi pelanggaran tertentu.
Pada September, Suruhanjaya Eropah membentangkan Akta Kanak-Kanak EU sebagai penyelesaian di seluruh blok itu untuk melindungi golongan bawah umur dalam talian.
Cadangan itu memperuntukkan larangan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah 13 tahun dan menetapkan bahawa pengguna harus berusia sekurang-kurangnya 15 tahun untuk membuka akaun sendiri.
Parlimen Eropah dan negara anggota kini sedang membincangkan cadangan berkenaan.
-- BERNAMA-dpa