[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Larangan media sosial: Nepal kuat kuasa perintah berkurung di Kathmandu

Bernama 08/09/2025 | 09:45 MYT
Penunjuk perasaan "Generasi Z" memecahkan penghadang polis dan memanjat pagar Parlimen sebelum pasukan keselamatan bertindak balas dengan gas pemedih mata dan meriam air. - Reuters
ANKARA: Pihak berkuasa Nepal pada Isnin menguatkuasakan perintah berkurung di ibu negara Kathmandu selepas penunjuk perasaan menyerbu Parlimen bagi membantah dakwaan rasuah dan keputusan kerajaan menutup media sosial, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penunjuk perasaan "Generasi Z" memecahkan penghadang polis dan memanjat pagar Parlimen sebelum pasukan keselamatan bertindak balas dengan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang sebelum ini berikrar akan kekal aman, menurut pelbagai laporan berita serta gambar dan rakaman video yang dikongsi dalam talian.

Pejabat pentadbiran daerah Kathmandu menguatkuasakan perintah berkurung sehingga 10 malam waktu tempatan di kawasan utama sekitar Parlimen selepas keadaan bertambah tegang.

Pihak berkuasa terus berusaha menghalang penunjuk perasaan yang cuba memasuki bangunan Parlimen.

Penunjuk perasaan turut berdemonstrasi di Kathmandu, Pokhara, Butwal, Biratnagar dan bandar lain membantah dakwaan rasuah serta larangan media sosial.

Minggu lalu, Nepal mengambil langkah menyekat platform media sosial utama selepas syarikat berkenaan gagal mendaftar dengan kerajaan.

Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat menguatkuasakan larangan itu selepas memberi tempoh tujuh hari mulai 28 Ogos kepada syarikat terbabit untuk berdaftar dengan kerajaan.

Platform yang disekat termasuk Facebook dan Instagram milik syarikat Amerika Syarikat (AS) Meta, serta WhatsApp, YouTube, syarikat media sosial AS X, Reddit dan LinkedIn.

Kerajaan berkata sekatan akan ditarik balik sebaik sahaja syarikat berkenaan mendaftar dengan pihak berkuasa.

Parti pembangkang utama Nepal telah mengkritik keputusan itu.

-- BERNAMA

#perintah berkurung #Kathmandu #tunjuk perasaan #Rasuah #media sosial