DUNIA

Latvia lapor kerosakan kabel dasar laut di Laut Baltik

Bernama 05/01/2026 | 04:09 MYT
SILINA: Kabel gentian optik milik sebuah syarikat swasta didapati rosak di Laut Baltik berhampiran Liepaja. -Gambar fail/Reuters
RIGA: Satu kabel dasar laut di Laut Baltik sekali lagi dilaporkan mengalami kerosakan, kali ini dikesan di luar pesisir pantai Latvia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Kabel dasar laut di Laut Baltik rosak di luar pesisir Latvia, disyaki berpunca daripada kapal. Perkara ini masih dalam siasatan.
  • Kapal yang disyaki terlibat telah dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan, dengan kru kapal turut disoal siasat.
  • Kerosakan kabel ini merupakan insiden kedua dalam seminggu di Laut Baltik, setelah kabel yang menghubungkan Estonia dan Finland juga dilaporkan rosak.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

"Kabel gentian optik milik sebuah syarikat swasta didapati rosak di Laut Baltik berhampiran Liepaja," kata Perdana Menteri Evika Silina menerusi platform X pada malam Ahad.

Menurut Polis Latvia, kerosakan itu disyaki berpunca daripada sebuah kapal. Walaubagaimanapun, punca sebenar insiden yang berlaku pada 2 Jan di perairan wilayah Latvia itu masih belum dapat dipastikan.

Berdasarkan maklumat daripada Tentera Laut Latvia, kapal berkenaan dikatakan pada mulanya berlayar di atas kabel yang tidak aktif sebelum mengubah haluannya ke arah kabel yang kini disahkan rosak, kata pihak polis.

Satu siasatan telah dilancarkan selepas kapal yang disyaki itu dikenal pasti, dan anggota kru kapal berkenaan telah disoal siasat.

Pasukan penyiasat turut menaiki kapal itu yang kini berlabuh di Pelabuhan Liepaja. Pihak polis menyatakan bahawa kapal dan kru yang memberikan kerjasama itu belum ditahan setakat ini, sementara siasatan masih diteruskan.

Liepaja merupakan bandar ketiga terbesar di Latvia dan terletak di pinggir pantai Laut Baltik, di utara sempadan Lithuania.

Menurut laporan, maklumat awal mengenai kemungkinan kerosakan kabel itu diterima daripada negara jiran, namun ia dikatakan tidak memberi kesan kepada pengguna di Latvia.

Kerosakan kabel dasar laut ini merupakan insiden kedua yang berlaku di Laut Baltik dalam tempoh seminggu.

Pada malam Ambang Tahun Baharu, sebuah kabel data yang menghubungkan Estonia dan Finland dilaporkan rosak. Sebuah kapal yang dikesan oleh pihak berkuasa Finland dengan rantai sauh diturunkan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam insiden itu.


--BERNAMA-dpa







Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang dilaporkan berlaku kepada satu kabel dasar laut di Laut Baltik berhampiran Liepaja, Latvia?
    A: Kabel gentian optik milik syarikat swasta didapati rosak di luar pesisir pantai Latvia disyaki berpunca daripada kapal yang berlayar di atas kabel tersebut.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Latvia setelah kerosakan kabel itu dilaporkan?
    A: Siasatan telah dilancarkan selepas kapal yang disyaki itu dikenal pasti, anggota kru kapal disoal siasat, dan pasukan penyiasat turut menaiki kapal yang berlabuh di Pelabuhan Liepaja.
  • Q: Apakah kesan kepada pengguna di Latvia akibat kerosakan kabel dasar laut itu?
    A: Meskipun maklumat awal mengenai kerosakan kabel itu diterima daripada negara jiran, namun ia tidak memberi kesan kepada pengguna di Latvia.



#Latvia #Laut Baltik #kabel dasar laut #kabel gentian optik #Liepaja #Evika Silina