MANILA: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. pada Jumaat menegaskan bahawa kawasan kaya dengan sumber iaitu Laut China Selatan tidak boleh sesekali menjadi zon konflik, sebaliknya perlu kekal sebagai "perairan yang aman, menggalakkan kerjasama, dan memupuk kesalinghubungan."
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan Marcos, yang berucap semasa resepsi diplomatik sempena ulang tahun ke-10 keputusan timbang tara 2016, menyeru semua pihak berkepentingan - termasuk kerajaan, diplomat dan rakyat - untuk menegakkan keputusan berkenaan serta kedaulatan undang-undang sebagai asas kepada keamanan dan kestabilan.
“Kami memegang satu keyakinan yang mudah tetapi teguh. Laut China Selatan tidak boleh sesekali menjadi medan konflik.
Ia mesti kekal sebagai laut yang aman, menggalakkan kerjasama dan memupuk kesalinghubungan, sebuah kawasan perairan yang menyara kehidupan, menggalakkan perdagangan, melindungi kepelbagaian biologi marin, serta menyatukan dan bukannya memecahbelahkan negara kita," kata Marcos.
Beliau menambah bahawa Filipina kekal komited terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), selain terus mengadakan libat urus yang membina dengan negara-negara lain.
-- BERNAMA-PNA