DUNIA

Lawatan ke Itali jana potensi pelaburan RM8.13 billion

Harits Asyraf Hasnan 03/07/2025 | 12:15 MYT
Anwar tiba di Rom pada Selasa lalu sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Itali, Perancis dan Brazil - Gambar fail/Astro AWANI
ROM: Malaysia meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 billion melalui lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali.

Ia melibatkan sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, sepanjang lawatan tersebut, beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Giorgia Meloni dan Timbalan Perdana Menteri, Antonio Tajani.

"Satu perkembangan yang agak menarik ialah kerana hasrat Itali untuk meningkatkan hubungan dua hala, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN.

"Itali melihat potensi ASEAN sebagai penggerak utama dalam kegiatan rantau dan ekonomi," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media sempena mengakhiri lawatan kerja ke Itali pada Khamis.

Turut mengiringi Perdana Menteri, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, lawatan kerja tersebut menyaksikan potensi eksport berjumlah RM425 juta bagi produk oleokimia, tenaga boleh baharu, suapan biobahan api, aditif makanan ternakan serta makanan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan beberapa persetujuan telah dicapai dalam usaha merancakkan kegiatan ekonomi antara Malaysia dan Itali, khususnya melibatkan sektor tenaga dan teknologi hijau.

Menurut Anwar, antara kerjasama utama yang dimuktamadkan adalah melibatkan syarikat minyak nasional, Petronas dan syarikat tenaga Itali, ENI, selain syarikat dari Jepun dan Pertamina (Indonesia) menunjukkan minat untuk turut serta.

Dalam masa sama, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Magna Steyr dijangka memeterai kerjasama selewat-lewatnya Disember tahun ini melibatkan teknologi kenderaan elektrik (EV), tambah Anwar.

Perdana Menteri juga memaklumkan telah menjemput Meloni untuk mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Jelas beliau, selain menghadiri persidangan, lawatan itu juga bertujuan untuk menyaksikan pelancaran kerjasama strategik antara Petronas dengan ENI.

Sementara itu, Perdana Menteri menjelaskan dalam pertemuan awal dengan Tajani pula, turut disentuh adalah isu kemanusiaan di Gaza serta ketegangan yang melibatkan Israel dan Iran.

Tegas Anwar, fokus utama Malaysia dalam pertemuan itu adalah ke arah mewujudkan kedamaian dan keselamatan serantau.

"Kita menegaskan pendirian untuk menjamin keadilan susulan keganasan Israel ke atas gaza dan pencerobohan ke atas iran yang menyebabkan Iran terpaksa bertindak balas.

"Tetapi pemusatan perbincangan kita ialah kedamaian yang boleh menjamin keselamatan rantau," kata Perdana Menteri.

Anwar tiba di Rom pada Selasa sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Itali, Perancis dan Brazil, yang juga usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala dan menggalakkan kerjasama ekonomi pada peringkat global.

Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dengan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus, mencecah RM14.61 bilion (AS$3.18 bilion), berbanding 2023.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (AS$1.48 bilion).






#ASEAN #Hubungan dua hala #Kesatuan Eropah #Petronas