DUNIA

Lawatan negara Sultan Ibrahim ke Arab Saudi perluas kerjasama strategik Kuala Lumpur-Riyadh

Bernama 02/11/2025 | 16:30 MYT
Syed Mohamad Bakri ketika ditemui pengamal media sempena lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi bermula Isnin hingga 6 Nov ini. - Gambar Bernama
RIYADH: Lawatan negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi bermula esok menjadi pemangkin kepada hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi sekali gus memperluas kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hal ehwal Islam antara kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata lawatan itu diyakini akan memacu hubungan antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.

"Lawatan ini memperkukuh lagi kerjasama sedia ada dan pada masa yang sama membuka kepada pintu usaha sama yang baharu.

"Kita nampak bahawa terdapat potensi untuk syarikat-syarikat Malaysia melabur di Arab Saudi kerana ekonomi Arab Saudi berkembang pesat di bawah Visi 2030 Arab Saudi di bawah kepimpinan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud," katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Syed Bakri berkata kerajaan Arab Saudi amat menantikan keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ke Arab Saudi dan memberikan kerjasama baik dalam menjayakan lawatan negara yang kali terakhir dilaksanakan Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada 1984.

"Kerajaan Arab Saudi memberikan taraf tetamu kerajaan yang tinggi kepada Seri Paduka Baginda dan juga anggota delegasi yang lain. Mereka memberikan kerjasama yang penuh kepada kita dalam menjayakan program-program yang dirancang," katanya.

Sementara itu, Syed Bakri berkata penghargaan yang bakal dizahirkan Sultan Ibrahim kepada Arab Saudi bakal mengeratkan lagi kerjasama khususnya dalam aspek pengurusan jemaah haji dan umrah Malaysia serta hal ehwal Islam.

Mengenai persiapan Lawatan Negara itu, beliau berkata Kedutaan Malaysia di Riyadh telah melaksanakan persiapan tahap optimum dengan kerjasama erat Pejabat Pertahanan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan semuanya berjalan lancar serta mencapai matlamat yang dirancang.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa berada di Riyadh, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan empat mata dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Istana Yamamah.

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kunjungan berprofil tinggi telah diadakan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Negara Tanah Suci itu juga rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM44.74 bilion (USD9.79 bilion).

Selain aspek ekonomi, hubungan erat kedua-dua negara turut terserlah dalam urusan ibadah haji dan umrah, dengan Seri Paduka Baginda bakal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas layanan mesra dan penyelarasan istimewa yang diberikan kepada jemaah Malaysia saban tahun.

-- BERNAMA


#Hubungan dua hala #pelaburan #ibadah haji #kerjasama strategik