Skip to main content

Dunia

Lawatan PM Perancis beli roti cetus kontroversi Hari Pekerja

Sebastien Lecornu_X @SebLecornu
Lecornu dilihat membeli sekurang-kurangnya empat batang baguet selain singgah membeli bunga di sebuah kedai bunga berhampiran. - Foto X/Sebastien Lecornu

PARIS: Lawatan Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, ke sebuah kedai roti untuk membeli beberapa batang baguet pada Hari Pekerja telah mencetuskan semula pertikaian dengan kesatuan buruh, yang menegaskan bahawa 1 Mei perlu kekal sebagai hari rehat wajib.

Dalam lawatan ke sebuah kedai roti di Saint-Julien-Chapteuil, di tengah Perancis, Lecornu dilihat membeli sekurang-kurangnya empat batang baguet selain singgah membeli bunga di sebuah kedai bunga berhampiran.

Advertisement

“Mari ambil beberapa… sekurang-kurangnya empat,” katanya ketika membuat bayaran.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengecualikan kedai roti dan kedai bunga milik persendirian daripada kewajipan tutup pada Hari Pekerja, yang merupakan cuti umum di seluruh negara.

Mengikut undang-undang Perancis, hanya perkhidmatan penting seperti hospital dan hotel dibenarkan beroperasi pada 1 Mei, dengan pekerja perlu dibayar dua kali ganda.

Namun, status operasi kedai roti dan kedai bunga masih tidak diperjelaskan sepenuhnya.

Setiausaha Agung kesatuan buruh terbesar Perancis, Marylise Leon, mengkritik tindakan itu dan menyifatkannya sebagai satu aksi politik yang tidak perlu.

“Ahli politik pergi ke kedai roti, saya rasa itu sebahagian daripada persembahan politik yang kita tidak perlukan hari ini. Apa yang kita perlukan adalah menggambarkan realiti sebenar pekerja kedai roti,” katanya.

Pada Jumaat, Lecornu turut menghubungi seorang pembuat roti yang dikenali sebagai Eric, yang sebelum ini didenda oleh pemeriksa buruh kerana meneruskan operasi pada 1 Mei.

Menurut laporan BFMTV dan Europe1, Lecornu memberi jaminan bahawa denda tersebut tidak perlu dibayar.

Pembuat roti berkenaan berdepan denda sehingga €5,250, termasuk €750 bagi setiap tujuh pekerjanya yang bertugas pada Hari Pekerja.

Awal minggu ini, kerajaan Perancis membentangkan rang undang-undang yang membenarkan kedai roti dan kedai bunga dibuka pada 1 Mei, tertakluk kepada kelulusan Parlimen.

Cadangan itu menetapkan bahawa pekerja perlu menyatakan secara bertulis persetujuan mereka untuk bekerja serta dibayar gaji dua kali ganda.

Kerajaan turut menggalakkan pembuat roti untuk beroperasi pada Hari Pekerja dengan menyifatkan perkhidmatan mereka sebagai “penting bagi kesinambungan kehidupan sosial”.

Namun, kesatuan buruh memberi amaran bahawa pekerja berisiko ditekan oleh majikan untuk bersetuju bekerja atau berdepan kemungkinan kontrak pekerjaan mereka terjejas.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan bahawa langkah tersebut boleh membuka jalan kepada kewajipan bekerja pada cuti awam lain di seluruh Perancis.

Pada April lalu, kesatuan buruh dalam satu kenyataan bersama mengingatkan bahawa “sejarah sosial menunjukkan setiap kali satu prinsip dilemahkan, pengecualian akan bertambah secara berperingkat sehingga menjadi kebiasaan,” menurut laporan agensi berita AFP.

 

Must Watch Video