MOSCOW: Lebih 100 golongan muda ditahan di Poland dalam beberapa operasi polis bagi mencegah serangan baharu di sekolah, kata Perdana Menteri Poland Donald Tusk pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Lebih 100 golongan muda ditahan kerana menyebarkan ancaman yang boleh dikenakan hukuman atau memiliki barangan berbahaya," kata Tusk pada mesyuarat tergempar Kabinet.
Perdana Menteri itu berkata tingkah laku mereka menimbulkan kebimbangan.
Pada Sabtu, seorang wanita berusia 21 tahun menyerang tiga individu dengan pisau berhampiran sebuah sekolah di tengah Warsaw, menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 17 dan 24 tahun cedera.
Pada 8 Okt, seorang wanita maut dalam serangan di sebuah sekolah di Kampung Leszczydol-Nowiny, sehari selepas serangan di sebuah sekolah di Ostroleka, timur laut Poland. Serangan berkenaan menyebabkan lebih 10 orang cedera.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI