Skip to main content

Dunia

Lebih 100 pendaki asing terkandas akibat banjir di Nepal

Sungai Budhi Gandaki di utara tengah Nepal dilihat melimpah akibat arus deras pada Ahad, 11 Okt 2026. - Gambar AP
Sungai Budhi Gandaki di utara tengah Nepal dilihat melimpah akibat arus deras pada Ahad, 11 Okt 2026. - Gambar AP

Advertisement

KATHMANDU: Lebih 100 pendaki asing dilaporkan terkandas di beberapa lokasi di Nepal selepas banjir yang melanda sebuah sungai di bahagian tengah negara itu pada hujung minggu lalu memusnahkan laluan trekking serta menghanyutkan beberapa jambatan.

Menurut pihak berkuasa Nepal, seramai 321 individu termasuk 12 warga asing berjaya diselamatkan pada Isnin susulan kejadian tanah runtuh sebelum subuh di daerah Gorkha, kira-kira 100 kilometer di barat Kathmandu.

Tanah runtuh itu telah menyekat aliran Sungai Budhi Gandaki, sekali gus menyebabkan banjir di kawasan hilir.

Tentera Nepal memaklumkan operasi menyelamat akan diteruskan pada Selasa meskipun paras air sungai berkenaan telah mula surut.

Sungai Budhi Gandaki merupakan anak sungai kepada Sungai Trishuli, yang sebelum ini turut terjejas akibat bencana banjir besar pada Ogos lalu selepas keruntuhan glasier di salah satu cabangnya mengorbankan 1,457 orang, manakala ribuan lagi masih hilang.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian terbaharu itu.

Bagaimanapun, lima penduduk kampung masih gagal dihubungi selepas rumah mereka dihanyutkan lumpur hitam dan sisa runtuhan yang turut merosakkan infrastruktur termasuk tiga loji hidroelektrik.

Pegawai Projek Kawasan Pemuliharaan Manaslu, Bhuwan Raj Ojha berkata, lebih 100 pendaki asing masih terkandas di beberapa kawasan selepas sebahagian laluan trekking utama musnah akibat banjir.

“Pendaki yang ingin berpatah balik kerana banjir perlu dibawa keluar melalui operasi menyelamat. Mereka yang mahu meneruskan perjalanan masih boleh berbuat demikian dari kawasan yang selamat,” katanya kepada Reuters.

Beliau berkata, kemudahan asas termasuk restoran dan rumah persinggahan (tea house) di sepanjang laluan trekking masih beroperasi dan berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) berpandangan, banjir terbaharu itu mungkin berpunca daripada kegagalan sekatan sementara sungai yang terbentuk akibat tanah runtuh.

Ketua Pengarah ICIMOD, Pema Gyamtsho berkata, kejadian itu sekali lagi menunjukkan tahap kerentanan komuniti pergunungan dan koridor sungai terhadap bencana yang berlaku secara tiba-tiba dan berantai.

Menurut beliau, walaupun keutamaan ketika ini adalah usaha menyelamat dan bantuan kecemasan, mengenal pasti punca sebenar banjir tersebut amat penting bagi mengurangkan risiko bencana pada masa hadapan serta meningkatkan daya tahan komuniti setempat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement