DUNIA

Lebih 100 terkorban dalam serangan kumpulan bersenjata di tengah Nigeria - Sumber

Bernama 04/02/2026 | 21:20 MYT
Penduduk tempatan komuniti Woro menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada Rabu, sebelum ketibaan pasukan keselamatan negeri, susulan serangan kumpulan bersenjata dua hari berturut-turut di Kwara, Nigeria. (Foto AP)
ABUJA: Lebih 100 orang terbunuh selepas lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang dua kampung di negeri Kwara, tengah Nigeria, lewat Selasa, menurut sumber tempatan pada Rabu.

Lelaki bersenjata berkenaan menyerang komuniti Woro dan Nuku di Kawasan Kerajaan Tempatan Kaiama lewat Selasa dan kembali menyerang awal Rabu, menyebabkan kemusnahan dengan melepaskan tembakan secara rambang ke arah penduduk serta membakar beberapa rumah, menurut sumber kepada Xinhua.

Jumlah korban sebelum ini meningkat kepada kira-kira 67 orang pada awal hari namun melonjak melebihi 100 orang menjelang tengah hari Rabu selepas kumpulan bersenjata itu melancarkan serangan kedua, mengambil kesempatan daripada keadaan jalan yang teruk, kata seorang pegawai Persatuan Palang Merah Nigeria kepada Xinhua.

Mangsa terselamat dan penduduk tempatan melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada Rabu sebelum ketibaan pasukan keselamatan negeri, kata pegawai itu.

Kerajaan negeri Kwara mengecam pembunuhan pada Rabu, menyifatkannya sebagai "tindak balas terdesak oleh kumpulan pengganas terhadap operasi keselamatan yang sedang dijalankan".

Gabenor Negeri Kwara, Abdulrahman Abdulrazaq, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan yang agensi keselamatan diarahkan untuk memperhebat operasi di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

#Nigeria #kumpulan bersenjata #serangan #pengganas