DUNIA
Lebih 1,000 migran seberang Selat Inggeris dengan bot kecil dalam tempoh dua hari
Lebih 1,000 migran tiba di United Kingdom (UK) dalam tempoh dua hari selepas menyeberangi Selat Inggeris dengan menaiki bot kecil. - Foto fail/REUTERS
LONDON: Lebih 1,000 migran tiba di United Kingdom (UK) dalam tempoh dua hari selepas menyeberangi Selat Inggeris dengan menaiki bot kecil, menurut angka Kementerian Dalam Negeri, lapor PA Media/dpa.
Statistik Kementerian Dalam Negeri menunjukkan 437 orang melakukan penyeberangan pada Jumaat, 20 Jun, menggunakan tujuh bot, manakala pada Sabtu, seramai 583 lagi menyeberangi menggunakan lapan bot, menjadikan jumlah keseluruhan untuk dua hari itu seramai 1,020 orang.
Jumlah mingguan setakat ini meningkat kepada 2,083, sementara jumlah keseluruhan untuk tahun ini ialah 18,400 orang berbanding 12,644 pada tarikh sama pada 2024, 10,601 pada 2023 dan 11,739 pada 2022.
Ketibaan terbaharu ini berlaku meskipun pihak berkuasa Perancis dilihat mengambil pendekatan lebih tegas di pantai mereka.
Perdana Menteri Britain Keir Starmer minggu ini berkata situasi itu "semakin bertambah buruk" dan memberi amaran mengenai kemungkinan sekatan visa.
Beliau memberi isyarat bahawa negara yang tidak mengambil langkah mencukupi untuk menangani krisis migrasi tidak sah, termasuk menerima semula pemohon suaka yang gagal, mungkin berdepan kesan terhadap jumlah visa yang diberikan kepada rakyat mereka.
Kenyataan Starmer dibuat ketika polis Perancis dilihat menggunakan taktik lebih tegas di pantai minggu ini, termasuk menggunakan gas pemedih mata.
Namun, mereka juga dilihat hanya memerhati apabila pendatang sudah memasuki air untuk menaiki bot kecil dalam usaha menyeberangi Selat Inggeris.
-- BERNAMA