[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

Lebih 1.4 juta rakyat Syria pulang ke tanah air sejak kejatuhan Assad - PBB

Bernama 01/05/2025 | 20:45 MYT
Pada 7 Januari lalu, sekumpulan rakyat Syria menanti ketibaan kaum keluarga mereka dari luar negara selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad. - Gambar fail AP
LONDON: Lebih 1.4 juta rakyat Syria telah pulang ke negara mereka sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember lalu, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
UNHCR menerusi hantaran di platform X menyatakan, bagi rakyat Syria yang telah kembali ke kediaman mereka, "harapan itu nyata, tetapi usaha membina semula tidak mudah."
Sebahagian daripada mereka yang pulang telah menjadi pelarian sejak perang saudara tercetus di negara itu pada 2011.
Agensi PBB itu turut merayu sokongan antarabangsa bagi membantu keluarga Syria memulakan kehidupan baharu.
"Mereka memerlukan sokongan untuk membina semula rumah dan infrastruktur, kesedaran keselamatan terhadap periuk api, bantuan undang-undang dan sokongan kesihatan mental," menurut kenyataan itu.
Sepanjang perang saudara, Turkiye menjadi tuan rumah kepada kira-kira empat juta rakyat Syria, lebih banyak daripada mana-mana negara lain di dunia.
Assad, yang memimpin Syria selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan antirejim menguasai Damsyik pada 8 Dis. Kejatuhan kerajaannya turut menamatkan pemerintahan Parti Ba'ath yang bermula sejak 1963.
Pada 29 Jan, Ahmed al-Sharaa dilantik sebagai Presiden negara itu.
-- BERNAMA
#Syria #Bashar al-Assad #rakyat Syria #pelarian #perang saudara