Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Lebih 14,800 pesakit di Gaza perlukan rawatan perubatan kritikal - WHO

Bernama 14/08/2025 | 13:30 MYT
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih 14,800 pesakit di Gaza memerlukan rawatan perubatan kritikal yang ketika ini tidak dapat disediakan di wilayah terkepung itu. - Gambar fail/REUTERS
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih 14,800 pesakit di Gaza memerlukan rawatan perubatan kritikal yang ketika ini tidak dapat disediakan di wilayah terkepung itu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan pada Rabu menggesa supaya laluan rujukan perubatan dari Gaza ke Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur diaktifkan semula sebelum terlambat.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya telah memudahkan pemindahan 32 kanak-kanak dan enam pesakit dewasa dari Gaza, diiringi 99 ahli keluarga.

Daripada jumlah itu, 25 kanak-kanak dan enam dewasa dibawa ke Itali, lima kanak-kanak ke Belgium dan dua kanak-kanak ke Turkiye.

Serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023 meragut 61,722 nyawa dan mencederakan 154,525 orang.

-- BERNAMA



#Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO #pesakit di Gaza #rawatan perubatan kritikal #Tedros Adhanom Ghebreyesus