DUNIA

Lebih 200 banduan bolos penjara Karachi susulan gempa

Astro Awani 03/06/2025 | 09:30 MYT
Pihak berkuasa berkawal di luar premis Penjara Malir di mana lebih 100 banduan melarikan diri, di Karachi, 3 Jun 2025. -AP
KARACHI: Lebih 200 banduan melarikan diri dari Penjara Malir, di Karachi, Pakistan selepas gegaran akibat gempa bumi mencetuskan kekacauan di fasiliti tersebut pada Isnin malam.


Ringkasan AI
  • Lebih 200 banduan melarikan diri dari Penjara Malir di Karachi selepas gegaran akibat gempa bumi mencetuskan kekacauan ketika proses pemindahan banduan pada malam Isnin.
  • Sekurang-kurangnya 216 banduan berjaya meloloskan diri, dengan lebih 135 masih bebas; seorang banduan terbunuh dan beberapa pegawai keselamatan cedera dalam insiden tersebut.
  • Pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan di sekitar bandar, dan satu jawatankuasa siasatan telah dibentuk untuk menyiasat punca kejadian serta kemungkinan kecuaian pihak penjara.


Menurut Superintenden Penjara Malir, Arshad Shah, insiden berlaku ketika pihak berkuasa sedang menjalankan pemindahan banduan sebagai langkah keselamatan selepas beberapa gegaran kecil melanda kawasan Malir sejak Ahad.

Sekurang-kurangnya 216 banduan berjaya melarikan diri ketika kekacauan berlaku, katanya.

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan bunyi tembakan berhampiran penjara, dipercayai daripada pihak berkuasa yang cuba mengawal keadaan.

Beberapa banduan dilihat berlari di jalan raya berdekatan, sementara pasukan keselamatan berusaha mengejar mereka.

Menurut laporan, lebih 135 banduan masih bebas, dan operasi mencari sedang giat dijalankan.

Menteri Dalam Negeri Sindh, Zia-ul-Hasan Lanjar menyifatkan kejadian sebagai antara insiden bolos dari penjara paling serius dalam beberapa tahun.

Beliau juga mengumumkan pembentukan jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kemungkinan kecuaian pihak penjara.

Dalam kekacauan tersebut, seorang banduan dilaporkan terbunuh, sementara beberapa pegawai penjara dan anggota Frontier Corps mengalami kecederaan akibat serangan oleh banduan yang melarikan diri.

Pihak berkuasa Karachi kini memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar bandar dan penduduk tempatan dinasihat agar berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.









#gempa bumi #banduan melarikan diri #Penjara Malir #Karachi #bolos dari penjara