DUNIA

Lebih 2,000 penerbangan di Amerika dibatalkan, ditangguhkan susulan penutupan kerajaan

Agensi 07/11/2025 | 22:50 MYT
Gambar yang dirakakamka di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat pada Jumaat menunjukkan suasana lengang tidak seperti kebiasaannya ekoran banyak penerbangan ditangguh atau dibatalkan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Lebih 2,000 penerbangan domestik di Amerika Syarikat dibatalkan atau mengalami kelewatan pada Jumaat selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan pengurangan trafik udara susulan penutupan kerajaan persekutuan yang berlarutan.

Arahan itu melibatkan 40 lapangan terbang paling sibuk di negara itu, termasuk JFK di New York, LAX di Los Angeles, dan O’Hare di Chicago.

Pengurangan trafik bermula dengan 4 peratus pada Jumaat dan dijangka meningkat sehingga 10 peratus menjelang minggu hadapan.

Langkah ini diambil bagi mengurangkan tekanan terhadap pengawal trafik udara yang kini bekerja tanpa gaji.

Ramai antara mereka dilaporkan mengambil cuti sakit atau mencari pekerjaan sampingan untuk menampung kos sara hidup.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy berkata, pengurangan jadual penerbangan adalah langkah proaktif untuk menjamin keselamatan penerbangan ketika sistem trafik udara menunjukkan tanda-tanda tekanan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal keselamatan. Kami perlu bertindak sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Menurut FAA, sehingga 4,000 penerbangan sehari berisiko terjejas jika penutupan kerajaan berterusan.

Beberapa syarikat penerbangan utama seperti Delta, United dan American Airlines telah mula membatalkan ratusan penerbangan dan menawarkan bayaran balik penuh kepada pelanggan yang terjejas.

Gangguan ini berlaku menjelang musim cuti hujung tahun, yang lazimnya menyaksikan lonjakan jumlah penumpang.

Penganalisis industri memberi amaran bahawa kesan jangka panjang terhadap keyakinan pengguna dan keselamatan penerbangan boleh menjadi serius jika krisis ini tidak diselesaikan segera.

Selain sektor penerbangan, beberapa acara besar dan perkhidmatan penghantaran turut terjejas. FedEx dan UPS yang beroperasi di lapangan terbang utama sedang menyesuaikan operasi bagi memastikan penghantaran barangan penting tidak terganggu.




#penerbangan ditangguh #penerbangan domestik Amerika #40 lapangan terbang #kerja tanpa gaji