Skip to main content

Dunia

Lebih 2,000 pesakit di Gaza meninggal dunia sementara menunggu rawatan dan pemindahan perubatan

Jumlah kumulatif kematian di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 mencecah 74,392 orang manakala 175,440 lagi cedera. - Foto fail/REUTERS
Jumlah kumulatif kematian di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 mencecah 74,392 orang manakala 175,440 lagi cedera. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seramai 2,027 pesakit di Semenanjung Gaza meninggal dunia akibat menunggu rawatan dan pemindahan perubatan susulan penutupan pintu sempadan serta kekurangan bekalan perubatan.
  • Lebih 21,000 pesakit memerlukan pemindahan perubatan, namun tiada pesakit dibawa keluar melalui pintu sempadan Rafah dalam tempoh lima hari lalu.
  • Hanya 227 daripada 574 pusat kesihatan di Gaza masih beroperasi dengan sumber terhad, menjejaskan rawatan pesakit, wanita hamil dan kanak-kanak.

GAZA: Seramai 2,027 pesakit di Semenanjung Gaza meninggal dunia ketika menunggu rawatan dan pemindahan perubatan susulan penutupan berterusan pintu sempadan serta sekatan kemasukan ubat-ubatan dan bekalan perubatan, menurut seorang pegawai perubatan pada Rabu, lapor Xinhua.

Pengarah Bantuan Perubatan di Bandar Gaza Mohammed Abu Afash memberitahu radio Voice of Palestine bahawa lebih 21,000 pesakit memerlukan pemindahan perubatan.

Beliau berkata tiada pesakit dibawa keluar dari wilayah itu menerusi pintu sempadan Rafah dalam tempoh lima hari sebelumnya.

Abu Afash berkata penutupan pintu sempadan dan kelewatan pemindahan perubatan memburukkan keadaan pesakit serta mengakibatkan komplikasi serius, khususnya dalam kalangan mereka yang menghidap kanser, kegagalan buah pinggang, penyakit jantung dan penyakit kronik lain.

Beliau berkata hospital di seluruh Semenanjung Gaza berdepan kekurangan sumber perubatan dan bekalan diagnostik yang serius, termasuk perkhidmatan makmal dan radiologi, bilik pembedahan, ubat-ubatan serta bekalan perubatan lain. Kekurangan itu menyebabkan pesakit tidak dapat menerima rawatan sewajarnya.

Sebelum konflik tercetus, Semenanjung Gaza mempunyai lebih 574 pusat kesihatan yang beroperasi, namun hanya 227 daripadanya masih beroperasi dengan sumber yang terhad, kata Abu Afash.

Beliau berkata keadaan itu turut menjejaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk wanita hamil dan kanak-kanak.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata hospital menerima tiga jenazah dan 17 orang yang cedera dalam tempoh 24 jam sebelumnya, menjadikan jumlah kematian yang direkodkan sejak gencatan senjata pada Oktober 2025 kepada 1,501 kematian dan 5,323 kecederaan.

Dalam laporan harian, pihak berkuasa itu berkata jumlah kumulatif kematian di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 mencecah 74,392 orang manakala 175,440 lagi cedera.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement