DUNIA

Lebih 24,000 tan bantuan dikumpul dari pintu masuk Gaza sejak genjatan senjata - PBB

Bernama 01/11/2025 | 08:45 MYT
Dujarric berkata lebih ramai penduduk yang memerlukan kini dapat menerima bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan, bekalan perubatan dan bahan perlindungan. - Gambar fail/Reuters
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan kemanusiaannya telah mengumpul lebih 24,000 tan metrik bantuan dari pintu masuk Semenanjung Gaza sejak genjatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, kata jurucakap PBB pada Jumaat, lapor Agensi Berita Xinhua.


Ringkasan AI
  • PBB dan rakan kemanusiaan mengumpul lebih 24,000 tan metrik bantuan sejak genjatan senjata 10 Okt, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan perlindungan.
  • Mekanisme UN2720 berjaya kurangkan pemintasan bantuan kepada 5% berbanding 80% sebelum ini; OCHA gesa lebih banyak lintasan dibuka untuk bantuan masuk.
  • WHO hantar 840 palet bekalan perubatan, namun sistem kesihatan Gaza masih kritikal; lebih 630,000 kanak-kanak dibantu untuk kembali belajar, dengan 90 bilik darjah dibaiki.


"Lebih ramai penduduk yang memerlukan kini dapat menerima bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan, bekalan perubatan dan bahan perlindungan, melalui pengagihan komuniti serta perkhidmatan berasaskan isi rumah yang disambung semula," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric dalam taklimat hariannya.

Beliau berkata, terdapat penurunan ketara dalam kes pemintasan atau kecurian bekalan bantuan yang dikumpulkan oleh PBB dan rakan pelaksananya di pintu masuk Gaza, hanya lima peratus dilaporkan dipintas antara 10 dan 28 Okt, berbanding sekitar 80 peratus antara 19 Mei hingga 9 Okt lalu.

Dujarric turut merujuk kepada "UN 2720 Mechanism", mekanisme yang digunakan untuk menjejak data pengumpulan bantuan.

Mekanisme itu membolehkan rakan kemanusiaan mendaftar melalui portal dan pangkalan data bersepadu (UN2720 Mechanism System) bagi menjejak semua penghantaran bantuan yang dirancang untuk Gaza.

Rakan pelaksana turut mengemukakan permohonan kelulusan penghantaran bantuan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menjangkakan jumlah bekalan yang dipintas akan terus berkurangan apabila lebih banyak bantuan kemanusiaan dan komersial dibenarkan masuk.

"Kami terus menyeru agar semua lintasan dibuka dan lebih banyak agensi serta pertubuhan PBB dibenarkan membawa masuk bekalan bantuan ke Gaza," katanya.

Sementara itu, OCHA memaklumkan rakan kemanusiaan terus meningkatkan operasi mereka walaupun terdapat laporan serangan udara Israel di seluruh kawasan itu, sambil mengingatkan tentera Israel tentang kewajipan untuk memastikan keselamatan orang awam dan petugas bantuan dalam semua operasi ketenteraan.

Sejak bermulanya genjatan senjata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar lebih 840 palet bekalan perubatan penting ke Gaza, termasuk insulin, alat bantuan pergerakan, ubat-ubatan asas, kit kolera dan kit pembedahan.

Namun, Dujarric berkata sistem kesihatan Gaza masih berdepan cabaran besar dalam memenuhi keperluan penduduk yang amat mendesak, sambil menambah bahawa setakat 7 Okt, lebih 1,700 petugas kesihatan telah terkorban sejak konflik bermula, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Dalam bidang pendidikan, rakan kemanusiaan turut memperluas intervensi bagi memulihkan semula proses pengajaran dan pembelajaran asas untuk lebih 630,000 kanak-kanak sekolah, termasuk menyokong pembaikan lebih 90 bilik darjah di Deir al-Balah dan Khan Younis, daripada lebih 2,000 bilik darjah yang memerlukan pemulihan di seluruh Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA




#bantuan kemanusiaan #Gaza #PBB #genjatan senjata #Stephane Dujarric