DUNIA

Lebih 2.8 juta pelarian Afghanistan pulang ke tanah air pada 2025

Bernama 18/01/2026 | 22:00 MYT
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan bahawa kepulangan pelarian Afghanistan telah mewujudkan cabaran besar bagi proses integrasi semula dan daya tahan jangka panjang. - Gambar fail Reuters
ISLAMABAD: Lebih 2.8 juta pelarian Afghanistan telah pulang ke tanah air dari negara-negara jiran sepanjang tahun lepas, menurut seorang pegawai kerajaan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Timbalan jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat ketika berucap pada satu persidangan anjuran Kementerian Sempadan, Puak dan Hal Ehwal Suku Kaum di Kabul berkata, kerajaan sedang menyediakan perkhidmatan asas dan kemudahan kepada keluarga yang pulang, lapor Radio Televisyen Afghanistan (RTA).

"Kira-kira 2.8 juta rakyat Afghanistan telah kembali dari negara-negara jiran pada tahun lepas (2025)," kata Fitrat.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan perkhidmatan asas dan perlindungan sementara kepada beribu-ribu keluarga yang terjejas, selain menyatakan bahawa usaha bantuan untuk mereka yang pulang sedang giat dijalankan di seluruh negara.

Terdahulu pada Jumaat, Fitrat memaklumkan bahawa kerajaan juga telah melancarkan program pengagihan tanah dan plot, dengan lebih 3,000 plot diagihkan dalam kalangan mereka yang pulang di pelbagai bahagian di Afghanistan.

Bulan lepas, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kepulangan pelarian Afghanistan telah mewujudkan cabaran besar bagi proses integrasi semula dan daya tahan jangka panjang.

-- BERNAMA


#Afghanistan #pelarian Afghanistan #pengagihan tanah #IOM #PBB