DUNIA

Lebih 300 petugas kemanusiaan terkorban pada 2025 - OCHA

Bernama 08/12/2025 | 13:04 MYT
Wilayah Palestin yang diduduki kekal sebagai tempat paling berbahaya di dunia bagi petugas kemanusiaan. - AP
MOSCOW: Seramai 320 petugas kemanusiaan terkorban di seluruh dunia pada 2025, menjadikannya tahun kedua paling banyak kematian dalam rekod selepas 2024, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Sekurang-kurangnya 320 petugas bantuan terkorban di 23 negara setakat akhir November 2025, dengan 98 peratus daripada mereka merupakan kakitangan tempatan yang berkhidmat dalam komuniti atau negara mereka sendiri... Ini susulan tahun paling banyak kematian yang pernah direkodkan bagi petugas kemanusiaan pada 2024, apabila lebih 380 petugas bantuan maut di 20 negara," menurut OCHA.

Wilayah Palestin yang diduduki kekal sebagai tempat paling berbahaya di dunia bagi petugas kemanusiaan, dengan 120 kematian direkodkan pada tahun ini sahaja, menurut laporan itu.

Sudan Selatan berada di kedudukan kedua dengan 65 kematian, diikuti Sudan dengan 39 kematian, menurut OCHA.

Serangan terhadap petugas bantuan merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menurut organisasi itu, sambil menambah bahawa negara dan pihak yang terlibat dalam konflik mesti memastikan hak dan keselamatan mereka dihormati.

Pada Ogos lepas, OCHA melaporkan bahawa 383 petugas kemanusiaan terkorban di seluruh dunia pada 2024, peningkatan 31 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kebanyakan mereka terkorban di Semenanjung Gaza dan Sudan.

-- BERNAMA

#petugas kemanusiaan #statistik korban #OCHA #hal ehwal kemanusiaan #Palestin #risiko