Lebih 4 juta penduduk di Sudan hilang tempat tinggal - PBB

Bernama
Ogos 10, 2023 04:19 MYT
Penduduk Sudan dari wilayah Darfur mengangkut barang meninggalkan kediaman mereka susulan konflik di negara itu, merentas sempadan antara Sudan dan Chad, di Anre, 4 Ogos 2023. - Foto REUTERS
NEW YORK: Lebih empat juta penduduk di Sudan hilang tempat tinggal sejak pertempuran bermula hampir empat bulan lalu, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
"Selepas enam belas minggu konflik di Sudan, lebih empat juta orang telah dipindahkan di dalam negara dan merentasi sempadan ke negara jiran," kata penyelaras kemanusiaan PBB, Clementine Nkweta-Salami.
"Ramai yang terperangkap akibat pertempuran dan menyukarkan mereka untuk mencari perlindungan di tempat lain.
"Mereka yang boleh melarikan diri pula terpaksa berdepan pelbagai bahaya lain, terdedah kepada penderaan, kecurian dan gangguan semasa perjalanan ke kawasan yang lebih selamat," kata Nkweta-Salami.
Dalam taklimat kepada Majlis Keselamatan PBB, pengarah operasi dan advokasi di Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, Edem Wosornu, berkata 1.4 juta orang meninggalkan rumah mereka sejak 23 Jun.
"Sudan kini terjerumus ke dalam malapetaka kemanusiaan," kata Wosornu.
Wosornu berkata 80 peratus hospital di seluruh negara tidak dapat berfungsi dan 14 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan.
Peperangan meletus di Sudan pada pertengahan April berikutan perebutan kuasa yang sekian lama berlarutan antara Presiden de facto Abdel Fattah al-Burhan dan naib presiden Mohammed Hamdan Daglo.
Pada asalnya kedua-dua jeneral itu bersama-sama merampas kuasa pada tahun 2021 tetapi kemudian menjadi seteru.
Pertempuran tertumpu di Khartoum dan bandar-bandar yang berdekatan, serta di wilayah Darfur di barat negara itu.
Pihak yang berkonflik sering bertempur dekat dengan kawasan perumahan. Sudan mempunyai 46 juta penduduk.
-- BERNAMA
#Sudan #rentas sempadan #cari perlindungan #larikan diri