DUNIA

Lebih 460 ditemukan maut di hospital bersalin di el Fasher, Sudan - PBB

Bernama 30/10/2025 | 09:50 MYT
OCHA memaklumkan bahawa analisis terhadap imej satelit mengesahkan bukti baharu berlakunya pembunuhan di El Fasher. - Gambar/ AP
NEW YORK: Lebih 460 pesakit dan waris mereka ditemukan maut di sebuah hospital bersalin di El Fasher, Sudan, ketika laporan mengenai kekejaman berterusan terhadap orang awam, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Lebih 460 pesakit dan waris ditemukan maut di hospital bersalin El Fasher, Sudan, susulan pengambilalihan bandar oleh Rapid Support Forces (RSF), dengan imej satelit mengesahkan pembunuhan dalam tempoh 48 jam selepas insiden.
  • Sejak konflik bermula pada April 2023, WHO merekodkan 185 serangan terhadap kemudahan kesihatan dengan 1,204 kematian dan 416 kecederaan, manakala IFRC melaporkan 21 kakitangan dan sukarelawan Bulan Sabit Merah terbunuh, termasuk lima dalam serangan terbaharu di Kordofan Utara.
  • Lebih 36,000 penduduk melarikan diri dari El Fasher, dan bantuan kecemasan sedang diselaraskan di Tawila. PBB meluluskan tambahan US$20 juta daripada CERF untuk bantuan di Darfur dan Kordofan, menjadikan jumlah keseluruhan US$47 juta bagi tahun ini.


Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan bahawa analisis terhadap imej satelit mengesahkan bukti baharu berlakunya pembunuhan di El Fasher, ibu negeri wilayah Darfur Utara dalam tempoh 48 jam selepas bandar itu diambil alih oleh Rapid Support Forces (RSF) pada Ahad.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan sebanyak 185 serangan terhadap kemudahan kesihatan di Sudan, mengakibatkan 1,204 kematian dan 416 kecederaan membabitkan petugas kesihatan dan pesakit sejak konflik bermula pada April 2023, tidak termasuk serangan terbaharu.

Tahun ini sahaja, 966 orang dilaporkan maut dalam 49 serangan.

Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pula memaklumkan lebih 36,000 penduduk melarikan diri dari El Fasher antara Ahad dan Selasa.

Menurut IOM, sumber tempatan melaporkan ramai penduduk masih terperangkap di bandar itu akibat keadaan keselamatan yang tidak menentu dan kekurangan pengangkutan untuk melarikan diri.

OCHA berkata bantuan kecemasan kini sedang diselaraskan bersama agensi kemanusiaan di Tawila, kira-kira 40 kilometer dari El Fasher bagi menampung keluarga yang dipindahkan ke kawasan penempatan sesak dan kekurangan tempat perlindungan, sanitasi serta bekalan asas.

Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelarasan Bantuan Kecemasan, Tom Fletcher pada Rabu meluluskan peruntukan tambahan sebanyak US$20 juta daripada Central Emergency Response Fund (CERF) bagi mempertingkat bantuan kecemasan di Tawila dan kawasan lain di wilayah Darfur serta Kordofan.

Jumlah itu adalah tambahan kepada US$27 juta yang telah diperuntukkan daripada dana sama bagi 2025.

Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula menyatakan rasa terkilan susulan lima sukarelawan Bulan Sabit Merah Sudan terbunuh dan tiga lagi hilang ketika mengagihkan makanan di kawasan Bara, Kordofan Utara pada Selasa.

Sejak konflik bermula pada April 2023, seramai 21 kakitangan dan sukarelawan Bulan Sabit Merah telah terbunuh.

OCHA menegaskan bahawa orang awam, pekerja kemanusiaan dan petugas perubatan mesti dilindungi pada setiap masa, sambil menggesa semua pihak segera menghentikan pertempuran, menjamin laluan selamat kepada orang awam dan pekerja bantuan, serta memastikan akses kemanusiaan berterusan ke semua kawasan terjejas.

-- BERNAMA



#Sudan #pembunuhan beramai-ramai #konflik Sudan #angka korban