SAN ANTONIO: Empat lelaki sudah didakwa atas pelbagai kesalahan berikutan 53 migran maut dalam treler di San Antonio, Texas Isnin lepas.

Pihak berkuasa berkata, antara yang ditahan, pemandu treler berkenaan, yang dikenali sebagai Homero Zamorano Jr, 45.

Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat menyebut, Zamorano Junior didakwa atas tuduhan penyeludupan manusia sehingga mengakibatkan kematian.

Media tempatan pula melaporkan Zamonaro mempunyai senarai rekod jenayah sejak 1990-an.

Sementara itu, Christian Martinez, 28, ditahan di Palestine, Texas, pada Selasa dan didakwa atas pertuduhan bersubahat membawa masuk pendatang asing tanpa izin sehingga menyebabkan kematian.

Siasatan mendedahkan bahawa komunikasi antara Zamorano dan Martinez berlaku membabitkan peristiwa penyeludupan itu.

CNN sebelum ini melaporkan, jika sabit kesalahan, Zamorano dan Martinez akan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau boleh dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, pada Selasa, Juan Claudio d’Luna-Mendez dan Juan Francisco d’Luna-Bilbao, kedua-duanya warga Mexico, didakwa memiliki senjata api dan menetap di Amerika Syarikat secara haram.

Polis menahan kedua-dua suspek pada Isnin di sebuah lokasi di San Antonio sebagaimana tertera dalam senarai pendaftaran treler itu.

Pegawai penyiasat Keselamatan Dalam Negeri San Antonio yang juga ejen khas yang bertanggungjawab menyiasat insiden itu, Craig Larrabee, menyifatkan peristiwa penyeludupan manusia itu sebagai yang “terburuk” pernah terjadi di Amerika Syarikat.

BACA: PBB dukacita, mayat migran dijumpai dalam treler di Texas, majoriti rakyat Mexico

BACA: 42 migran ditemui maut dalam lori

Treler dengan nombor pendaftaran palsu itu membawa 67 migran sebelum dijumpai pada Isnin.

Semasa kejadian, tiada tanda-tanda kehadiran air malah tiada unit penyaman udara yang berfungsi di dalam treler berkenaan.

Mereka yang dijumpai masih hidup mengalami strok haba dan keletihan.

Suhu di San Antonio mencecah 101 darjah Fahrenheit (38 darjah Celsius) pada hari mereka dijumpai, manakala suhu dalam treler itu berkemungkinan jauh lebih tinggi berbanding cuaca pada hari berkenaan.