DUNIA

Lebih 50 NGO antarabangsa beri amaran tindakan Israel jejas kerja kemanusiaan

Bernama 03/01/2026 | 03:30 MYT
Pertubuhan berkenaan memberi amaran bahawa penghentian operasi mereka antara lain akan menyebabkan penutupan kemudahan kesihatan, pemberhentian pengagihan makanan dan keruntuhan rantaian bekalan perlindungan. - Gambar/ Reuters
BAITULMAQDIS: Lebih 50 pertubuhan kemanusiaan antarabangsa yang beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki memberi amaran bahawa prosedur pendaftaran baharu Israel berpotensi mengganggu operasi mereka secara serius, sekali gus menjejaskan penyaluran bantuan kepada orang awam yang amat memerlukan, walaupun gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza.


Ringkasan AI
  • Lebih 50 NGO kemanusiaan antarabangsa di wilayah Palestin beroperasi menghadapi ancaman kegagalan operasi akibat prosedur pendaftaran baharu Israel yang berpotensi menghalang penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan.
  • NGO tersebut mengemukakan bahawa keputusan pendaftaran akan berkuat kuasa selepas tempoh 60 hari dan jika dilaksanakan, operasi mereka di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur akan terhenti.
  • Meskipun gencatan senjata berlaku, keperluan bantuan kemanusiaan di Gaza kekal kritikal, dengan separuh daripada bantuan makanan serta 60 peratus hospital lapangan ditangani oleh NGO antarabangsa.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, 53 NGO antarabangsa memaklumkan bahawa mereka telah menerima notis rasmi yang menyatakan pendaftaran mereka akan tamat pada 31 Dis 2025, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Langkah berkenaan dijangka berkuat kuasa selepas tempoh 60 hari, yang memerlukan pertubuhan terbabit menghentikan operasi mereka di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

NGO berkenaan menegaskan bahawa mereka memainkan peranan penting dalam tindak balas kemanusiaan, dengan bekerjasama rapat bersama Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan kumpulan masyarakat sivil Palestin bagi menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa secara besar-besaran.

Menurut mereka PBB, pasukan petugas kemanusiaan dan kerajaan penderma telah berulang kali mengiktiraf bahawa NGO ini amat diperlukan dalam usaha kemanusiaan dan pembangunan, serta menggesa Israel menarik balik keputusannya.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, keperluan kemanusiaan di Gaza masih berada pada tahap kritikal, dengan satu daripada empat keluarga bergantung kepada hanya satu hidangan sehari. Selain itu, ribut musim sejuk telah menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal, menjadikan 1.3 juta penduduk amat memerlukan perlindungan segera.

NGO antarabangsa menyediakan lebih separuh daripada bantuan makanan di Gaza, mengurus atau menyokong 60 peratus hospital lapangan, serta melaksanakan hampir tiga suku daripada aktiviti perlindungan dan bantuan bukan makanan. Mereka juga membekalkan semua rawatan bagi kanak kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut yang teruk.

Pertubuhan berkenaan memberi amaran bahawa penghentian operasi mereka akan menyebabkan penutupan kemudahan kesihatan, pemberhentian pengagihan makanan, runtuhnya rantaian bekalan perlindungan, serta gangguan rawatan yang menyelamatkan nyawa.

Kenyataan itu ditandatangani oleh pelbagai NGO, termasuk Oxfam, Medecins Sans Frontieres, Save the Children, Amnesty International dan banyak lagi yang komited terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah kesan prosedur pendaftaran baharu Israel terhadap NGO antarabangsa yang beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki?
    A: NGO antarabangsa yang beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki memberi amaran bahawa prosedur pendaftaran baharu Israel berpotensi mengganggu operasi mereka secara serius dan memerlukan mereka menghentikan operasi di Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmaqdis Timur.
  • Q: Mengapa NGO antarabangsa memainkan peranan penting dalam usaha kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki?
    A: NGO antarabangsa memainkan peranan penting dalam tindak balas kemanusiaan dengan menyediakan bantuan makanan, mengurus hospital lapangan, serta melaksanakan aktiviti perlindungan dan bantuan bukan makanan di Gaza dan Tebing Barat.
  • Q: Apakah keperluan kemanusiaan yang masih kritikal di Gaza walaupun gencatan senjata berkuat kuasa?
    A: Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, keperluan kemanusiaan di Gaza masih kritikal dengan satu daripada empat keluarga bergantung kepada hanya satu hidangan sehari dan ribut musim sejuk menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal.


#Genosid Gaza #NGO Antarabangsa #kekejaman israel #bantuan kemanusiaan