DUNIA
Lebih 5,000 rumah musnah dalam gempa bumi di Afghanistan - PBB

Kesan gempa bumi diburukkan lagi oleh struktur rumah yang tidak kukuh atau dibina dengan lemah menggunakan batu kering, batuan dan kayu. - AP
GENEVA: Kira-kira 5,400 rumah musnah dalam satu gempa bumi yang melanda Pergunungan Hindu Kush di Afghanistan, lapor Agensi Berita Rusia (TASS), memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA).
"Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan dengan pihak berkuasa de facto (DfA) yang kini melaporkan lebih 1,400 orang maut, 3,100 lagi cedera dan sehingga 5,400 rumah musnah," menurut kenyataan itu.
Menurut agensi itu, "kesan gempa bumi ini diburukkan lagi oleh struktur rumah yang tidak kukuh atau dibina dengan lemah menggunakan batu kering, batuan dan kayu tanpa elemen tahan gempa, ditambah pula dengan hujan lebat beberapa hari sebelum kejadian yang melonggarkan struktur tanah."
Ia turut menyatakan tempat perlindungan kecemasan dan barangan bukan makanan, bekalan perubatan penting, air minuman, bantuan makanan kecemasan dan kemudahan sanitasi kecemasan masih menjadi "keutamaan mendesak."Gempa bumi 6.2 magnitud melanda Pergunungan Hindu Kush di Afghanistan pada 31 Ogos.
Pusat gempa terletak 27 kilometer ke barat daya bandar Asadabad di timur negara itu.
Gegaran kuat itu memusnahkan keseluruhan kampung, manakala kejadian tanah runtuh telah menghalang jalan ke beberapa penempatan serta mengganggu talian komunikasi. Operasi menyelamat sedang dijalankan di kawasan pergunungan terpencil.
Menurut data terkini pihak berkuasa Afghanistan, jumlah kematian akibat gempa meningkat kepada 1,411 orang, manakala 3,124 lagi cedera. Satu lagi gempa bumi 5.5 magnitud menggegarkan Pergunungan Hindu Kush pada 2 Sept.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami