DUNIA

Lebih 53,000 orang dipindahkan di tengah China berikutan hujan lebat

Bernama 20/06/2025 | 22:15 MYT
Amaran cuaca dan tahap tindak balas kecemasan ditingkatkan, dengan hujan ekstrem dijangka berterusan dalam tempoh tiga hari akan datang. - Foto REUTERS
CHANGSHA: Sejak hujan lebat berterusan melanda Wilayah Hunan di tengah China, lebih 53,000 penduduk telah dipindahkan di Wilayah Autonomi Xiangxi Tujia dan Miao, Zhangjiajie, Changde dan Huaihua setakat 5 petang Jumaat, menurut Pejabat Suruhanjaya Pengurusan Kecemasan Wilayah, lapor Xinhua.

Ringkasan AI
  • Lebih 53,000 penduduk telah dipindahkan di Wilayah Hunan, China akibat hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir besar di beberapa kawasan termasuk Zhangjiajie, Xiangxi Tujia dan Miao, serta Changde.
  • Pihak berkuasa menggerakkan pelbagai usaha kecemasan, termasuk penghantaran pasukan sokongan komunikasi, anggota bomba, kenderaan penyelamat dan peralatan untuk mengurus pemindahan dan pemulihan bencana.
  • Amaran cuaca dan tahap tindak balas kecemasan ditingkatkan, dengan hujan ekstrem dijangka berterusan dalam tempoh tiga hari akan datang, mendorong perhatian serius daripada agensi persekutuan dan tempatan.

Jabatan meteorologi tempatan memaklumkan bahawa sebahagian kawasan di Xiangxi Tujia dan Miao, Huaihua, Zhangjiajie, Changde dan Yiyang akan terus mengalami hujan ribut hingga hujan yang mencurah-curah dalam tempoh tiga hari akan datang, dengan beberapa kawasan terpencil dijangka menerima hujan lebat ekstrem.
Jabatan Kewangan dan Pengurusan Kecemasan wilayah pada Jumaat telah segera memperuntukkan 30 juta yuan (kira-kira AS$4.18 juta) bagi tujuan kawalan banjir dan bantuan bencana, dengan tumpuan diberikan kepada Changde, Zhangjiajie dan Xiangxi Tujia dan Miao untuk pemindahan, penghapusan risiko, serta kerja pemulihan kecemasan.
Pada Khamis, Pejabat Suruhanjaya Pengurusan Kecemasan wilayah telah menghantar pasukan sokongan komunikasi seramai 27 anggota bersama enam kenderaan.
Pasukan itu membawa lebih 100 set peralatan komunikasi kecemasan dan tiga dron komunikasi, serta menempatkan mereka di Daerah Shimen, Longshan, Sangzhi dan Yuanling bagi memastikan kelancaran sistem komunikasi, selain dua pasukan khas turut digerakkan bagi membimbing usaha bantuan bencana tempatan dan penilaian kerosakan di kawasan terjejas.
Pentadbiran Bomba dan Penyelamat Kebangsaan China turut menghantar 230 anggota dan 43 kenderaan penyelamat ke Sangzhi dan Longshan bagi melaksanakan operasi kecemasan. Seramai 280 anggota bomba, 78 jentera bomba dan 40 bot penyelamat turut digerakkan dari seluruh Hunan untuk memperkuat perkhidmatan kecemasan di Zhangjiajie dan Wilayah Autonomi Xiangxi Tujia dan Miao yang kini berdepan banjir besar akibat hujan mencurah-curah yang berterusan.
Sejak Rabu malam, hujan ribut hingga hujan mencurah-curah telah melanda Zhangjiajie, Xiangxi Tujia dan Miao, Changde, Huaihua, Yiyang dan Shaoyang, dengan beberapa kawasan mengalami hujan ekstrem. Empat pekan di Daerah Sangzhi dan Longshan mencatat jumlah hujan melebihi 400 milimeter.
Biro Meteorologi Wilayah telah meningkatkan tahap tindak balas kecemasan terhadap bencana meteorologi akibat hujan lebat daripada Tahap 3 kepada Tahap 2 pada 6 petang Khamis.
Suruhanjaya Pengurusan Kecemasan Wilayah turut mengeluarkan notis pada petang Khamis, mengumumkan peningkatan tahap tindak balas kecemasan kawalan banjir daripada Tahap 4 kepada Tahap 3 bermula 9 malam hari yang sama.
China mengguna pakai sistem amaran cuaca empat peringkat, dengan merah mewakili tahap paling teruk, diikuti jingga, kuning dan biru. Sistem tindak balas kecemasan nasional juga mempunyai empat tahap, dengan Tahap 1 sebagai yang tertinggi.
-- BERNAMA
#China #hujan lebat #banjir #bencana