DUNIA

Lebih 66,000 keluarga terjejas akibat dua gempa bumi kuat di Filipina

Bernama 11/10/2025 | 22:40 MYT
Menurut NDRRMC, ratusan penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman mereka rosak dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina, 11 Okt 2025. REUTERS
ISTANBUL: Lebih 66,000 keluarga terjejas akibat dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina dalam tempoh beberapa jam pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi memetik pegawai dan media tempatan.

Gabenor Davao Oriental Nelson Dayanghirang berkata pada Sabtu bahawa kira-kira 100 rumah musnah manakala sekitar 500 lagi mengalami kerosakan sebahagian, menurut laporan ABS-CBN.

Kerajaan di Davao Oriental - wilayah yang paling teruk terjejas - telah mengisytiharkan darurat.

Menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC), ratusan penduduk berpindah ke kawasan selamat selepas kediaman mereka rosak.

Sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan terbunuh.

Gempa bumi kuat kedua dengan magnitud 6.7 melanda perairan selatan Wilayah Mindanao hanya beberapa jam selepas gempa bumi bermagnitud 7.4 menggegarkan kawasan sama, mencetuskan amaran tsunami yang kemudiannya dibatalkan dan menyebabkan pemindahan di kawasan pantai.

Setakat ini, tiada anggaran lengkap mengenai kerosakan terhadap infrastruktur dan sektor pertanian dikeluarkan.

Lebih 800 gegaran susulan turut direkodkan setakat Sabtu, manakala satu lagi gempa bumi bermagnitud 5.8 berlaku di perairan berhampiran Davao Oriental.

-- BERNAMA



#gempa bumi #Filipina #rumah musnah #darurat